PARIT – Seorang pelajar tingkatan dua mengaku bersalah di atas pertuduhan melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii di Mahkamah Majistret di sini, pada Jumaat.
Tertuduh berusia 14 tahun membuat pengakuan berkenaan, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nurul Izalina Rajaai.
Mengikut pertuduhan remaja berkenaan didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii ke atas seorang kanak-kanak lelaki berusia 8 tahun yang juga anak asuhan ibu tertuduh.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Iskandar Perdana, Seri Iskandar di sini jam 11 pagi, 14 November lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd. Ameerul Nazhif Wan Zulfikri dan tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Nadzrah Badarudin.
Terdahulu, Wan Mohd. Ameerul memohon mahkamah mengenakan jaminan RM3,000 ke atas tertuduh namun mahkamah menetapkan remaja berkenaan diikat jamin sebanyak RM1,000.
Mahkamah turut menetapkan 29 Disember 2025 sebagai tarikh sebutan semula bagi mendapatkan laporan akhlak tertuduh dari Jabatan Kebajikan Masyarakat. -MG Perak


