IPOH – Infrastruktur dan kemudahan sekolah yang berkualiti memainkan peranan penting dalam membantu meningkatkan prestasi akademik pelajar, termasuk di sekolah kawasan luar bandar.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, persekitaran pembelajaran yang kondusif serta selamat memberi kesan langsung terhadap keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).
“Persekitaran yang kondusif dan bangunan yang selamat akan memberi kesan kepada pembelajaran, malah ia membolehkan guru melaksanakan proses PdP dengan lebih berkesan.
“Oleh itu, kita menyeru kepada semua pihak agar dapat memastikan keadaan sekolah selamat, kondusif serta dilengkapi kemudahan terbaik diteruskan bagi meningkatkan kualiti pendidikan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media bersempena Majlis Penyerahan Projek Siap Pembinaan Bangunan Baharu Kompleks Pendidikan Negeri Perak di Meru Raya, di sini, pada Selasa.
Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh; Pengarah Pendidikan Negeri, Zulkafli Mohamed Mokhtar, serta Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia, Datuk Ir Ibrahim Esa.
Dalam pada itu beliau berkata, peningkatan prestasi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini turut didorong oleh usaha berterusan kerajaan dalam menambah baik kemudahan sekolah di kawasan luar bandar termasuk di Sarawak dan Perak.

Menurut Fadhlina, sekolah di luar bandar menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan, di samping mencerminkan usaha berterusan merapatkan jurang pendidikan antara kawasan bandar dan luar bandar.
Mengulas laporan keputusan SPM 2025, di mana terdapat ibu bapa mendakwa pelajar Program Permata Pintar kurang menyerlah, beliau berkata sebarang kelemahan akan ditangani.
Jelas beliau, KPM akan terus melaksanakan penambahbaikan dan intervensi segera bagi mengatasi sebarang kelemahan yang dikenal pasti dalam sistem pendidikan.
“Secara keseluruhannya SPM itu memang meningkat dan kita bangga dengan anak-anak kita. Apa saja kelemahan yang berlaku itu, kita akan tambah baik dan akan lakukan intervensi sesegera mungkin,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak sokong naik taraf sekolah kulinari melalui teknologi moden


