KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) perlu menyelesaikan persepsi rasuah dalam kalangan rakyat susulan kekalahan teruk gabungan politik itu pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) Sabah.
Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, ia boleh dimulakan dengan tidak menyambung kontrak pelantikan Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan, beliau pada sidang Dewan Rakyat minggu ini turut membangkitkan berkenaan isu kontrak Azam tersebut sama ada akan disambung lagi buat kali keempat atau sebaliknya.
Namun ujarnya, jawapan yang diberikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung perkara itu adalah kabur.
Tegas beliau, walau apa pun keputusan Perdana Menteri mengenai perkara itu, beliau tidak boleh lari daripada hakikat bahawa pandangan rakyat mengenai komitmennya melawan rasuah bergantung kepada keputusan menyambung perkhidmatan Azam.
“Bukan untuk dua kali. Bukan tiga kali. Tetapi empat kali. Jika kontrak itu disambung lagi, keputusan itu akan terus mencemarkan kredibiliti PH dan PKR sebagai parti yang tegas melawan rasuah.
“Dengan pelbagai kontroversi yang membabitkan nama beliau (Azam), sudah sampai masanya kontrak itu tidak disambung lagi,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Menurut Rafizi, tindakan tidak menyambung kontrak Azam adalah jawapan yang akan beliau berikan setiap kali ditanyakan pelbagai pihak berkenaan reaksi awal kekalahan PH pada PRN-17 Sabah.
Ujarnya, ia berkaitan dengan usaha PH membina kembali kredibiliti melawan rasuah yang perlu bermula dengan melantik Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu.
Namun, tambah bekas Menteri Ekonomi berkenaan, desakan itu sekiranya dibuat beliau seorang tidak akan didengari oleh Anwar.
“Lebih baik jika Nurul Izzah juga desak secara terbuka. Lebih baik lagi jika Anthony Loke dan DAP juga desak secara terbuka.
“Barulah kredibiliti lawan rasuah PH dan PKR dapat dibaiki sedikit demi sedikit,” kataya.
Terdahulu, menerusi hantaran sama, Rafizi turut berkongsi perkara yang sama antara faktor penting kemerosotan sokongan rakyat terhadap PH pada PRN-17 Sabah.
Ia disebabkan rasa kecewa pengundi dengan prestasi reformasi dan pembaharuan, terutama dalam membersihkan negara dari rasuah.
“Kelebihan utama PH dan PKR sebelum ini ialah harapan rakyat agar sistem negara bebas dari rasuah. Ini kehendak utama pengundi-pengundi PH yang rata-ratanya dari golongan kelas menengah,” katanya.
Malah, ujar Rafizi, beliau juga sering mengingatkan Anwar berkenaan data-data kaji selidik sejak tahun lalu yang menunjukkan kebimbangan rakyat mengenai prestasi mencegah rasuah yang kekal menjadi kritikan utama terhadap kerajaan.
Katanya, lebih-lebih lagi kerana di sebalik ucapan-ucapan dan berita mengenai usaha mencegah rasuah, perubahan itu tidak dirasakan dengan cepat.
“Persepsi ini disahkan oleh statistik kes-kes rasuah yang berakhir dengan hukuman. Peratusan yang dituduh berbanding kertas siasatan dibuka menurun dari 56 peratus tahun 2020 kepada 39 peratus tahun 2024.
“Sabitan bersalah juga menurun, daripada 300 kes bersamaan 36 peratus kertas siasatan berakhir dengan sabitan dalam 2021, berbanding 2024 hanya 256 sabitan iaitu 22 peratus berjaya disabitkan,” katanya.
Selain itu, tambah Rafizi, ada kes-kes berprofil besar yang berakhir dengan individu dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) atau kes digugurkan atau tertuduh dilepaskan selepas membayar kompaun. – MalaysiaGazette


