Perak catat peningkatan tenaga buruh, lebih 1.2 juta pekerja direkodkan

IPOH – Perak merekodkan peningkatan kebolehpasaran tenaga buruh apabila lebih 1.2 juta pekerja dicatatkan sehingga tempoh September tahun ini.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional, Datuk A Sivanesan berkata, pada tahun 2022 jumlah tenaga buruh adalah sebanyak 1.12 juta dan jumlahnya meningkat kepada 1.13 juta pada tahun lalu.

Menurutnya, kadar pengangguran setakat September tahun ini adalah sebanyak 3.4 peratus berbanding 2022 yang mencatatkan 3.8 peratus.

“Ini adalah trend yang baik dan lebih ramai anak-anak muda dilihat dapat masuk ke pasaran kerja pada tahun 2025, bermakna jawatan kosong yang diwujudkan di sektor swasta pun agak tinggi.

“Dari segi peratus, secara purata kadar penyertaan tenaga buruh Perak adalah 66 peratus bagi tahun 2022 dan 2023 kemudian meningkat kepada 65 peratus pada tahun lalu dan sehingga September tahun ini ia mencatatkan 67 peratus,“ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, pada Khamis.

Sementara itu, Sivanesan meminta PASAK supaya terus menggalakkan penyertaan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menyertai program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang ditawarkan di negeri ini.

Tambahnya, masih terdapat kekosongan untuk program TVET bagi pelajar lepasan SPM dan segala kos akan ditanggung kerajaan negeri.

“Sekarang, kita pergi ke sekolah menengah dan bagi taklimat di sana supaya anak-anak muda yang tidak dapat teruskan pendidikan mereka ke peringkat kolej atau universiti, yang gagal dalam SPM, untuk menyertai program TVET yang dikendalikan oleh kerajaan Perak.

“Peperiksaan SPM sudah hampir selesai dan mereka (pelajar) tidak perlu tunggu untuk keputusan SPM. Pelajar boleh menggunakan keputusan peperiksaan terakhir di sekolah dan sekolah tersebut boleh memilih pelajar yang layak untuk menyertai program TVET,“ ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

PASAK bantu OKU TVET cari pekerjaan sesuai mulai tahun hadapan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI