IPOH – Situasi banjir di Perak semakin pulih apabila jumlah mangsa yang masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) terus mencatatkan penurunan kepada 957 orang setakat jam 12 tengah hari pada Ahad.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak berkata, angka berkenaan melibatkan 266 keluarga yang ditempatkan di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah iaitu Hilir Perak, Bagan Datuk dan Manjung.
“Hilir Perak mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 407 orang daripada 104 keluarga yang ditempatkan di empat PPS.
“PPS yang terlibat adalah Dewan Rumah Rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Bandar Baru, Dewan Serbaguna Kampung Sungai Rubana, Dewan Serbaguna Kampung Padang Tembak dan Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis (IPD) Hilir Perak.
“Di Bagan Datuk, seramai 335 mangsa daripada 100 keluarga masih berlindung di dua PPS iaitu Dewan Perdana Kompleks UMNO Bagan Datuk serta Dewan Kompleks Belia dan Sukan Bagan Datuk.
“Dalam pada itu, Manjung merekodkan jumlah mangsa terendah melibatkan 215 mangsa daripada 62 keluarga yang berlindung di tiga PPS di Sekolah Rendah Agama Rakyat (SAR) Padang Serai, Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Bharu dan SK Kayan Lekir.,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan paras air di stesen Sungai Bidor di Changkat Jong dan Sungai Slim di Slim River berada pada aras bahaya.
“Stesen Sungai Bidor di Changkat Jong mencatatkan bacaan 3.93 meter berbanding 2.00 meter aras normal manakala Sungai Slim di Slim River pula bacaannya meningkat kepada 25.58 meter berbaning 23.50 pada aras biasa,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Banjir Perak: 2,206 mangsa masih berlindung di 16 PPS


