PUTRAJAYA – Malaysia mesti menembusi pasaran baharu selain Amerika Syarikat (AS) dan China sekiranya mahu menjadi negara dagang dan mempunyai ekonomi yang kukuh di rantau ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia wajib meningkatkan perdagangan dalam kalangan ASEAN dan meneroka pasaran baharu tanpa hanya bergantung kepada dua negara gergasi tersebut.
“Kita tak boleh berjaya menjadi negara dagang kalau kita hanya tumpu kepada rakan-rakan strategik sedia ada. Perdagangan sangat tinggi dengan AS, China serta sebahagian negara-negara Eropah, itu tidak bermasalah dan akan kita teruskan
“Kalau mahu menjayakan Malaysia sebagai negara punyai ekonomi kukuh dan negara dagang, kita mesti dan wajib menembusi pasaran baharu, perdagangan intra ASEAN dan menembusi pasaran di Amerika Latin dan Afrika yang punya potensi.
“Mudah-mudahan rakyat akan memahami keperluan kita dalam bidang antarabangsa ini,” katanya berucap merasmikan program Rancakkan Madani Bersama Malaysiaku di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Anwar juga mengakui, antara Jemaah Menteri Kabinetnya dulu merupakan seteru politik, namun kini boleh bekerjasama untuk membangunkan negara.
“Tidak mudah mengendali satu kumpulan kelompok yang pernah berseteru dulu tapi semuanya bertekad untuk menggunakan ruang mengangkat martabat negara.
“Saya yakin Insya-Allah, kalau kita teruskan dengan prestasi ini, Malaysia akan meningkat maju sebagai negara hebat di Asia ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette


