MEXCLUB platform strategik selaraskan agenda pembangunan luar bandar Perak

IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyifatkan Mesyuarat Exco-Exco Luar Bandar (MEXCLUB) sebagai satu wadah penyelarasan yang amat strategik dalam memastikan agenda pembangunan luar bandar dapat dilaksanakan secara berkesan dan berimpak tinggi kepada rakyat.

Menurutnya, platform tersebut berperanan sebagai pasak utama kepada penyelarasan dasar dan pelaksanaan pembangunan luar bandar, khususnya dalam menyesuaikan dasar nasional dengan keperluan sebenar di peringkat akar umbi.

“MEXCLUB menjadi pasak kepada penyelarasan agenda pembangunan luar bandar. Apabila dasar nasional disesuaikan dengan keperluan sebenar di lapangan, barulah hasilnya dapat dirasai oleh rakyat.

“Sebagai negeri yang luas dan mempunyai taburan kampung yang berbeza dari satu daerah ke daerah lain, MEXCLUB ini tentunya platform yang sangat penting supaya setiap tindakan yang dirancang benar-benar sesuai dengan keperluan setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Tengah Hari Sempena Mesyuarat Penyelarasan Antara Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersama MEXCLUB.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri KKDW, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi danTimbalan Menteri KKDW, Datuk Rubiah Wang.

Saarani berkata, di Perak, kerajaan negeri berpegang kepada prinsip yang jelas: kesejahteraan negeri bermula dari kekuatan luar bandarnya daripada kampung tradisional, komuniti desa, hingga ke perkampungan Orang Asli yang tidak boleh dibiarkan terpinggir dalam arus pembangunan negara.

“Atas kesedaran itu, kerajaan negeri meletakkan agenda luar bandar sebagai fokus penting dalam Belanjawan Perak 2026, dengan peruntukan yang bersasar dan boleh diukur impaknya,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Program ‘game changer’ KKDW capai 95 peratus

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI