Bilik multisensori bantu perkembangan murid PPKI SK Sungai Rokam

IPOH – Keterujaan jelas terpancar di wajah murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Rokam, di sini sebaik sahaja mereka masuk ke Bilik Multisensori yang dirasmikan pada Rabu.

Seramai 100 murid PPKI daripada sekolah tersebut mendapat manfaat daripada kemudahan bilik berkenaan yang dilengkapi pelbagai peralatan rangsangan deria bagi membantu perkembangan kognitif, emosi dan sosial mereka.

Bilik multisensori bantu perkembangan murid PPKI SK Sungai Rokam
Pengarah Pendidikan Perak, Zulkafli Mohamed Mokhtar pada sidang media majlis perasmian dan serahan Bilik Multisensori Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan Sungai Rokam, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 17 DISEMBER 2025.

Pengarah Pendidikan Perak, Zulkafli Mohamed Mokhtar berkata, ruang tersebut memberi manfaat besar dalam mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih inklusif dan kondusif bagi murid berkeperluan khas itu.

“Kemudahan tersebut membantu murid-murid PPKI menyeimbangkan emosi, meningkatkan daya ketahanan diri serta mengembangkan kreativiti mereka melalui pelbagai kaedah terapi yang disediakan,“ katanya pada sidang media selepas merasmikan Bilik Multisensori PPKI SK Sungai Rokam di sini, pada Rabu.

Beliau berkata, bilik terapi itu adalah hasil kerjasama antara sekolah tersebut dengan Pertubuhan Wanita Prihatin Perak dan Go Hub Capital Berhad yang sentiasa peka dalam membantu dan memastikan pendidikan inklusif, khususnya untuk murid berkeperluan khas.

Bilik multisensori bantu perkembangan murid PPKI SK Sungai Rokam
Murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) ketika berada di dalam bilik Multisensori PPKI Sekolah Kebangsaan Sungai Rokam, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 17 DISEMBER 2025.

Menurutnya, SK Sungai Rokam merupakan antara tiga sekolah di daerah Kinta Utara yang terpilih sebagai projek rintis penubuhan bilik multisensori selain Sekolah Coronation Park dan SK Sri Sentosa, melibatkan peruntukan keseluruhan kira-kira RM110,000.

“Jabatan Pendidikan (JPN) Perak ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada penyumbang-penyumbang sebenarnya. Inilah yang kita harapkan, peranan komuniti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Zulkafli turut berharap supaya inisiatif penyediaan bilik terapi tersebut dapat diperluaskan ke sekolah-sekolah bagi  lain di negeri ini.

Bilik multisensori bantu perkembangan murid PPKI SK Sungai Rokam
Ketua Pegawai Eksekutif Go Hub Capital Berhad, Tan Cherng Thong pada sidang media majlis perasmian dan serahan Bilik Multisensori Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan Sungai Rokam, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 17 DISEMBER 2025.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Go Hub Capital Berhad, Tan Cherng Thong berkata, sumbangan bilik tersebut diharap dapat membantu dari segi perkembangan pendidikan murid-murid terbabit.

“Kita berharap dapat menyumbangkan antara RM500,000 ke RM1 juta untuk sumbangan bagi menjayakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk tujuan pendidikan bagi sekolah-sekolah yang memerlukan di seluruh negara,“ ujarnya.

Bilik multisensori bantu perkembangan murid PPKI SK Sungai Rokam
Pengerusi Pertubuhan Wanita Prihatin Perak, Norzita Rabaai pada sidang media majlis perasmian dan serahan Bilik Multisensori Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan Sungai Rokam, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 17 DISEMBER 2025.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Wanita Prihatin Perak, Norzita Rabaai berkata, pembangunan bilik multisensori tersebut adalah susulan Program Sentuhan Kasih di bawah inisiatif Autism Perak 2025 yang berlangsung pada 27 September lalu di Taman DR Seenivasagam.

Katanya, ia merupakan satu objektif mengadakan program kesedaran kepada masyarakat mengenai anak-anak autisme, peluang pembelajaran dan bagaimana untuk mereka membangunkan diri dengan kaedah terbaik.

“Melalui program itu kita mengutip dana untuk menubuhkan bilik multisensori bagi tiga sekolah di Daerah Kinta dengan kerjasama dengan Kementerian Pelajaran Malaysia melalui JPN.

“Pihak pertubuhan berharap dapat meneruskan inisiatif tersebut untuk tahun-tahun akan datang dan mengalu-alukan penyertaan sektor korporat bagi menaja bilik-bilik berkenaan,“ jelasnya.

Norzita berkata, sekiranya terdapat penaja yang bersetuju pada tahun hadapan, projek tersebut akan diteruskan dengan pendekatan yang berbeza. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

RM15 juta naik taraf Tabika Kemas Autisme seluruh negara

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI