Rombakan Kabinet fasa penyesuaian bukan sekadar pertukaran nama, jawatan – Nurulhidayah

KUALA LUMPUR – Rombakan Kabinet yang diumumkan semalam harus dilihat sebagai satu fasa penyesuaian, bukan sekadar pertukaran nama atau jawatan.

Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid berkata, dalam konteks Kerajaan Perpaduan, setiap lantikan membawa makna yang lebih besar bukan hanya kepada parti, tetapi kepada kepercayaan rakyat terhadap kestabilan negara.

Ujarnya, sebagai penyokong Barisan Nasional (BN), harapannya jelas dan ikhlas yang mana setiap wakil BN yang diberi amanah perlu menggalas tanggungjawab itu dengan penuh integriti, kesungguhan dan keberanian untuk bekerja.

“Kita tidak berada dalam kerajaan kerana dominasi kuasa, tetapi kerana keperluan negara kepada pengalaman, kestabilan dan kebijaksanaan tadbir urus,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Dalam pengumuman rombakan Kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, seramai 13 pemimpin BN disenaraikan dalam barisan Jemaah Menteri, sama ada menerusi pelantikan baharu atau dikekalkan, termasuk yang bertukar portfolio.

Sementara itu, Nurulhidayah yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bagan Datuk berkata, BN mungkin bukan lagi parti dominan dalam Kerajaan Perpaduan, namun relevansi tidak diukur melalui jumlah kerusi semata-mata.

Menurutnya, ia diukur melalui hasil kerja, keupayaan menyelesaikan masalah rakyat dan kebolehan membawa suara sederhana yang menenangkan suasana politik negara.

Sehubungan itu, ujarnya, kini merupakan peluang untuk membuktikan bahawa BN bukan sekadar parti sejarah, tetapi parti yang masih mampu menyumbang secara bererti dalam landskap politik semasa.

“Rakyat hari ini tidak lagi teruja dengan retorik. Mereka menilai melalui prestasi, kecekapan dan kejujuran.

“Maka setiap menteri daripada Barisan Nasional perlu tampil menyerlah, bukan untuk kepentingan peribadi atau parti semata-mata, tetapi untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap politik yang berfungsi,” katanya.

Sementara itu, Nurulhidayah menambah, beliau percaya sekiranya amanah yang diberikan digalas dengan ikhlas dan kerja yang konsisten, rakyat akan melihat bahawa BN tetap relevan sebagai rakan kerajaan yang matang, berpengalaman dan berjiwa besar.

Apatah lagi, ujarnya, politik hari ini menuntut kerendahan hati untuk bekerjasama dan ketegasan untuk mempertahankan prinsip demi kepentingan negara.

“Semoga setiap lantikan menjadi cerminan nilai amanah, dan setiap keputusan yang dibuat membawa manfaat kepada rakyat.

“Itulah harapan saya sebagai seorang penyokong Barisan Nasional dan sebagai rakyat Malaysia yang mahukan negara ini terus stabil dan bergerak ke hadapan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI