IPOH – Sudah menjadi tradisi, setiap kali cuti persekolahan akhir tahun akan dimanfaatkan ibu bapa untuk mempersiapkan anak-anak mereka menyertai upacara berkhatan beramai-ramai.
Justeru, Masjid Panglima Kinta dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Rakan Masjid Kinta Perak mengambil inisiatif menganjutkan Program Khatan Perdana untuk kanak-kanak yang berada dalam keluarga kurang berkemampuan bagi menunaikan ibadah yang disyariatkan agama Islam.
Program yang turut mendapat tajaan beberapa agensi dan swasta melibatkan itu secara tidak langsung mencerminkan peranan masjid sebagai pusat komuniti yang holistik.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Rakan Masjid Kinta Perak, Aidirizal Kamaruddin, berkata program tersebut pertama kali dianjurkan di masjid berkenaan hasil saranan dan nasihat beberapa pihak berkepentingan.
“Program ini julung kali diadakan di Masjid Panglima Kinta. Ini menunjukkan bahawa masjid bukan sekadar tempat beribadat sahaja.
“Di masjid, kita juga boleh mengadakan buat program-program yang dapat menyatukan perpaduan ummah untuk komuniti,“ katanya ketika ditemui media di masjid berkenaan pada Khamis.

Hadir sama, Datuk Panglima Kinta, Datuk Ab Wahab Azizul Hassan merangkap Pengerusi Masjid Panglima Kinta.
Dalam pada itu, Aidiriza berkata, program itu turut mendapat kerjasama beberapa penaja yang membantu pihak penganjur.
Katanya, tajaan tersebut membolehkan lebih ramai kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah menerima manfaat program berkenaan.

“Kita memang menyasarkan kepada ibu bapa yang kurang berkemampuan serta mempunyai dua, tiga orang anak yang perlu dikhatankan. Dari situ, kita offer (tawarkan) kepada mereka,“ ujarnya.
Aidirizal turut menyatakan harapan supaya program khatan tersebut dapat diteruskan sebagai acara tahunan dengan sokongan berterusan daripada pihak penaja.

“InsyaAllah kita berharap ia akan menjadi acara tahunan dengan pembabitan penaja. Mereka (penaja) boleh berjumpa dengan kita dan kita akan sediakan tempat seperti hari ini,“ katanya.
Mengulas mengenai penyertaan peserta, beliau berkata program itu melibatkan kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 10 tahun daripada beberapa kawasan sekitar Daerah Kinta antaranya Klebang, Chepor, Pengkalan dan Batu Gajah. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


