PENGALAMAN terjatuh ke dalam longkang besar sehingga menyebabkan gigi hadapan patah ketika mencari rezeki satu masa dahulu tidak mematahkan semangat Khairruddin Mazli, 34, seorang orang kurang upaya (OKU) penglihatan, untuk menjadi usahawan pusat urutan dan refleksologi.
Pemilik Sufi Reflexology itu berkata, dia hilang penglihatan sepenuhnya ketika berusia 20 tahun akibat glaukoma dan kemudiannya menyertai Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) pada 2013 serta berkenalan dengan rakan-rakan OKU yang lain.
Dia mula menjalankan perkhidmatan itu sekitar tahun 2015 di Padang Polo sebelum berpindah ke Bulatan Sultan Azlan Shah sebelum menyewa sebuah kedai bagi memenuhi permintaan pelanggan yang mahukan urutan badan secara menyeluruh.
“Saya mula menjalankan perkhidmatan urutan kaki dan bahu di Padang Polo dan kemudian berpindah ke Bulatan Sultan Azlan Shah.

“Bagaimanapun, atas permintaan ramai yang mahu urutan badan, saya mula sewa kedai di Bandar Meru Raya sejak lapan tahun lalu,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak di pusat urutan badan dan refleksologi miliknya di Bandar Meru Raya, di sini.
Anak keempat daripada lima beradik itu berkata, ketika bersama MAB dia turut menyertai Pasukan Bola Sepak Orang Buta Malaysia (BFAM) sebelum mula mempelajari kemahiran urutan secara serius.
“Mereka ajak saya untuk menyertai Pasukan Bola Sepak Orang Buta Malaysia (BFAM). Selepas itu, saya belajar urut sambil main bola tetapi disebabkan kekangan kewangan, saya berhenti main bola namun meneruskan kerjaya dalam bidang urutan,” ujarnya.
PASAK buka peluang

Khairuddin berkata, selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan daripada pandemik Covid-19 pada 2021, dia mengikuti kursus urutan dan refleksologi selama dua bulan yang ditawarkan oleh Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) khusus untuk OKU bagi menambah kemahiran.
Selain itu, dia turut menerima kursus yang sama di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dan latihan urutan sukan di bawah Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Tambahnya, dia turut memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Tiga dan sijil pentauliahan daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran yang membolehkannya mengajar serta menganjurkan kursus urutan.

Penerima Anugerah Usahawan Perak 2025 kategori Usahawan OKU Terbaik itu berkata, dia bersama rakan kongsinya turut menerima kontrak setahun daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menyediakan perkhidmatan urutan kepada kakitangan agensi berkenaan.
Menyentuh mengenai perkhidmatan yang disediakan di Sufi Reflexology, Khairuddin berkata, setakat ini mereka menawarkan perkhidmatan urutan badan penuh, refleksologi, urutan migrain, urutan kaki, sauna dan bekam angin dengan harga bermula serendah RM35.
Cabaran bersaing dengan pengusaha urutan ‘mobile’
Dalam pada itu, dia mengakui cabaran tetap wujud terutamanya persaingan dengan pengusaha urutan bergerak (mobile) serta kesan ekonomi semasa.

“Macam saya OKU penglihatan, terpaksa bersaing dengan golongan yang celik yang boleh buat perkhidmatan urutan secara mobile (dari rumah ke rumah) namun saya kena tetap berada di kedai,” ujarnya.
Beliau berkata, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) merupakan saat paling mencabar apabila simpanannya hampir habis dan beliau terpaksa menanggung sewa premis.
“Memang duit simpanan saya betul-betul habis dan saya pernah kata, kalau bulan tujuh saya tidak boleh lagi buat urutan saya terpaksa tutup kedai. Alhamdulillah masa pada masa itu premis saya dibenarkan untuk dibuka semula,” katanya.
OKU perlu belajar kemahiran

Mengakhiri bicara, Khairruddin menyeru golongan OKU supaya berani mempelajari kemahiran sebagai sumber rezeki.
“Pada semua kawan-kawan daripada apa saja golongan OKU, ambil sahaja mana-mana kemahiran yang ada dan belajar.
“Kita belajar dulu kemahiran itu dan dari situ kita fikir apa yang kita oleh buat. Kalau boleh buat urutan, pergi kepada urutan. Kalau boleh kepada bidang lain, kita boleh pergi ke bidang lain,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Dashboard Hartanah@Perak perkukuh agenda perumahan sejahtera


