GERIK – Royal Belum sekali lagi menjadi tumpuan dunia apabila Malaysia menganjurkan UNESCO World Heritage Volunteers (WHV) 2025 yang kini memasuki tahun keempat penganjuran dengan membawa tema global global ‘Advancing EcoDigital Communities for Sustaining Natural Heritage’.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Pulau Banding Foundation (PBF), program sukarelawan antarabangsa ini memberi penekanan terhadap penggunaan teknologi digital, sains lapangan dan pendekatan komuniti bagi melestarikan warisan alam semula jadi.
Menurutnya, program ini dianjurkan oleh Universiti Malaysia Kelantan (UMK)–Tropical Rainforest Research Centre (UMK-TRaCe), PBF dan Yayasan EMKAY serta mendapat sokongan penuh daripada Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (NatCom Malaysia).
“Melalui kerjasama strategik ini, WHV di Royal Belum terus menjadi platform utama bagi memupuk kepimpinan belia dalam pemuliharaan hutan hujan tropika,” katanya.

Dalam pada itu, kenyataan tersebut memaklumkan, tahun 2025 menyaksikan penyertaan sukarelawan antarabangsa dari China, Indonesia, Kemboja dan Yaman, selain penglibatan besar belia tempatan.
“Kehadiran pelbagai negara ini menonjolkan komitmen global terhadap perlindungan ekosistem kritikal seperti Kompleks Hutan Belum–Temengor, yang diiktiraf sebagai antara hutan hujan tertua di dunia.
“Menurut laporan program, WHV 2025 menghimpunkan lima siri kem tindakan yang meliputi aktiviti lapangan dan komuniti seperti pemasangan kamera perangkap, eksplorasi Denai Banding, penilaian ekologi, latihan survival hutan (FORESM), serta penglibatan bersama masyarakat Orang Asli melalui sesi bantuan komuniti, pendidikan tidak formal, permainan tradisi dan pertukaran budaya.
“Antara institusi pendidikan dan rakan strategik terlibat termasuklah Belum Rainforest Resort, Persatuan Pelajar Antarabangsa dalam Sains Ekonomi dan Perdagangan Universiti Malaya (AIESEC UM), Belum Forest Friends (BFF), INTI International College Subang dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).
“Selain itu, Sekolah Kebangsaan (SK) RPS Banun dan International School of Penang dan Tropical Rainforest Living Collection (TRLC) Banun turut memberi sokongan bagi memastikan aktiviti berjalan lancar dan memberi impak langsung kepada masyarakat setempat,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Koordinator WHV Royal Belum Perak Malaysia dan Pengarah UMK-TRaCe, Dr Muhammad Firdaus Abdul Karim berkata, WHV melahirkan belia yang lebih sedar mengenai nilai hutan di Malaysia
“Kehadiran sukarelawan antarabangsa dilihat banyak membantu dalam menguatkan usaha pemuliharaan di Royal Belum,” jelasnya.
Sementara itu, salah seorang sukarelawan dari Yaman, Samah Khaled Ahmed Faiz berkata, Royal Belum telah memberi banyak pengalaman berharga tentang hubungan antara alam, budaya dan komuniti yang tidak dapat dilupakan.
Penganjuran WHV 2025 merupakan kesinambungan usaha yang pernah mencipta sejarah sebagai penerima Anugerah ‘Star of Outstanding’ Global Awards for Heritage Education Innovative Cases (AHEIC) di Saudi Arabia pada 2023.
Melalui inisiatif ini, Malaysia bukan sahaja memperkukuh rangkaian global konservasi belia, tetapi turut diiktiraf sebagai model rujukan antarabangsa dalam pemuliharaan berasaskan komuniti, integrasi digital, serta pembangunan modal insan generasi muda. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
PBF, IPT berkolaborasi jalani penyelidikan biodiversiti di Royal Belum


