IPOH – Hari pertama sesi persekolahan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Damai, di sini meriah dengan kehadiran maskot Kung Fu Panda dan Little Pony.
Tinjauan Malaysia Gazette (MG) Perak mendapati murid-murid kelihatan teruja dan gembira melihat susuk maskot yang menyambut kedatangan mereka di pintu masuk sekolah.
Turut hadir menyambut kehadiran murid-murid tersebut adalah Guru Besar SK Tasek Damai, Nor Azeti Fadzil dan Yang DiPertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Tasek Damai, Mohamad Halim Arafullah.
Pihak sekolah juga mengambil inisiatif memberikan buah tangan kepada murid-murid yang tiba awal ke sekolah.
Menurut Mohamad Halim, idea untuk menyambut kehadiran murid-murid menggunakan maskot ini tercetus selepas wabak Covid-19 beransur pulih pada tahun 2023.

“Tahun ini adalah tahun keempat kami membawa maskot dan seperti kebiasaan kami akan membantu pihak sekolah untuk menyambut anak-anak pada hari pertama sesi persekolahan.
“Selain daripada maskot, kami juga mengupah dua anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bagi menjaga lalu lintas untuk sesi pagi dan petang hingga waktu balik pada hari ini,” katanya ketika ditemui di perkarangan sekolah berkenaan pada Isnin.
Katanya, setiap tahun pihaknya akan membawa maskot dengan watak berbeza bagi membawa kelainan.
“Pada tahun ini, bapa kepada salah seorang murid memakai maskot watak animasi terkenal Kung Fu Panda manakala anak saudara saya pula menyarung maskot Little Pony.
“Sekolah ini mempunyai murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan ada dalam kalangan mereka yang takut bila tengok maskot.

“Berbeza dengan anak-anak prasekolah, mereka kelihatan lebih seronok dan turut ‘high five’ dengan maskot pada pagi ini,” ujarnya.
Untuk rekod SK Tasek Damai mempunyai 947 murid dari Tahun Satu hingga Enam termasuk prasekolah dan PPKI. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
UMNO Tambun sedia kelengkapan sekolah 250 murid B40, anak yatim


