KAMPAR – Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang lelaki tempatan serta merampas 168 bahagian hidupan liar dipercayai ekor buaya bernilai RM20,000 dalam Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di sini semalam.
Operasi itu dilaksanakan oleh Kompeni B, Batalion 3, Briged Utara PGA dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sekitar jam 4 petang.
Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, hasil operasi membawa kepada penahanan seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30 tahun yang dipercayai terbabit dalam kegiatan mengeksploitasi bahagian hidupan liar tanpa lesen.
Menurutnya, siasatan awal mendapati bahagian hidupan liar itu dipercayai diperoleh daripada sebuah syarikat pembekal yang beroperasi di Puchong, Selangor sebelum diedarkan kepada restoran-restoran di sekitar Kampar mengikut permintaan.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas premis tersebut menemukan sebanyak 168 bahagian hidupan liar dipercayai ekor buaya bersama satu salinan invois dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM20,000,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, kegiatan itu dipercayai telah dijalankan sejak tahun 2024.
“Kesemua rampasan dan suspek telah diserahkan kepada Perhilitan Perak untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 68 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM500,000, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
PGA tumpaskan aktiviti melombong bijih timah haram, rampasan RM28 juta


