IPOH – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Perak menyasarkan 1,000 siri jualan ikan murah menerusi Program Jualan Sejahtera Rakyat Ikan Murah LKIM di semua 12 daerah di negeri Perak sepanjang tahun ini.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, ia sebagai usaha untuk membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat.
Katanya, program berkenaan akan dilaksanakan di lima lokasi tapak kekal yang disyorkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Daerah Dan Tanah (PDT) di setiap daerah.

Menurut beliau, siri jualan turut akan dijalankan secara jualan di bawah khemah menggunakan motosikal roda tiga serta lori bergerak dengan kekerapan tiga kali seminggu di lokasi-lokasi yang terpilih.
“Spesies ikan yang akan ditawarkan adalah kepada berdasarkan permintaan setempat dengan harga yang lebih rendah antara 30 peratus hingga 40 berbanding harga pasaran semasa.
“Saya yakin bahawa melalui jualan ikan murah ini memberikan impak yang tinggi kepada rakyat di samping dapat membekalkan ikan berkualiti dengan ia diperoleh pada harga berpatutan.
“Ia juga diharap dapat membantu meringan beban rakyat dalam menghadapi musim-musim perayaan sepanjang tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Program Jualan Sejahtera Rakyat Ikan Murah LKIM Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Isnin.
Hadir sama, Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Negeri Perak, Ahmad Zulkifli Ismail.
Mohd Zolkafly berkata, antara hasil laut yang akan dijual pada program berkenaan adalah ikan kembung pada harga RM13.60 sekilogram, ikan merah (RM36 sekilogram), udang (RM28 sekilogram), kerang (RM14.40 sekilogram) dan sebagainya.
“Dalam hal penentuan lokasi program, LKIM akan berhubung dengan pihak PBT dan pihak PDT dan pihak LKIM telah pun mengenal pasti tapak-tapak yang sesuai.
“Selain daripada tapak-tapak yang sedia ada yang sesuai, seperti yang saya maklumkan tadi dengan menggunakan kenderaan-kenderaan yang lain, tapak-tapak itu termasuk di kawasan masjid,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, LKIM turut mengalu-alukan penyertaan usahawan sedia ada dan usahawan baharu untuk bersama-sama menyertai program ini, bukan saja di negeri Perak, malah di luar negeri.
Ujar Mohd Zolkafly, usaha menerusi penganjuran program itu juga selaras dengan pengeluaran hasil perikanan Perak yang tinggi, di samping memperkukuh rantaian bekalan serta keterjaminan makanan negara.
“Orang ramai dan pihak yang berminat tentang Program Jualan Sejahtera Rakyat Ikan Murah LKIM Perak boleh mendapatkan maklumat lanjut menerusi laman sosial Facebook LKIM Perak,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
720 aduan berjaya diselesaikan, HBP diteruskan tahun hadapan


