LENGGONG – Kerajaan Perak terus komited dalam menyemarakkan pengimarahan masjid dan surau di daerah ini menerusi penyaluran sumbangan Ramadan bagi menyokong pelaksanaan pelbagai program keagamaan dan kebajikan masyarakat setempat.
Rata-rata penerima meluahkan rasa syukur dan gembira dengan sumbangan kewangan itu yang disampaikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada Majlis Penutup Simposium Pengurusan Masjid dan Surau Parlimen Lenggong di Dewan Merdeka di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Bendahari Masjid Ubudiah, Osman Said berkata, sumbangan yang diterima ini amat membantu dalam memastikan kelancaran aktiviti sepanjang bulan mulia itu.
Menurutnya, Masjid Ubudiah yang terletak di Kampung Sumpitan itu akan melaksanakan pelbagai program pengisian sepanjang Ramadan antaranya majlis berbuka puasa harian, solat tarawih serta tadarus al-Quran.
“Alhamdulillah, terima kasih kepada pihak berkenaan kerana memberi sumbangan kepada kami untuk menyemarakkan terutamanya majlis ataupun program-program yang akan diadakan sepanjang bulan Ramadan ini,“ katanya.

Osman turut memaklumkan bahawa Masjid Ubudiah boleh memuatkan kapasiti jemaah sehingga 600 orang pada satu masa.
Sementara itu, Ketua Kampung Raban, Mohamad Nor Ikhwan Ahmad Tajiaai merangkap wakil Masjid Al-Hamidiah turut menzahirkan penghargaan kepada kepimpinan negeri dan persekutuan atas sumbangan yang disalurkan.
“Terima kasih banyak-banyak kepada Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan juga Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad kerana memberi sumbangan yang boleh masjid ini gunakan sepanjang bulan Ramadan ini.

“Sumbangan ini sedikit sebanyak membantu meningkatkan pengisian program di bulan Ramadan serta dapat mengimarahkan masjid di sini.
“Selain daripada itu, kariah masjid juga dapat merasai nikmat menerusi sumbangan yang disalurkan,” katanya yang memaklumkan masjid itu mampu memuatkan 3,000 jemaah.
Sebanyak 36 masjid dan surau di sekitar Parlimen Lenggong menerima sumbangan Ramadan berkenaan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pengurusan masjid sambut baik pengumuman Belanjawan Perak


