IPOH – Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan kenderaan polis di Jalan Ipoh-Lumut berhampiran Puncak Jelapang di sini pada Selasa.
Mangsa maut dikenali sebagai Chong Zee Han, 3, disahkan meninggal dunia sekitar jam 4.32 petang ketika menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kemalangan itu mengakibatkan ibu mangsa berusia 34 tahun yang memandu kereta jenis Perodua Kelisa serta dua anggota polis yang menaiki kereta jenis Honda Civic 1.5L milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengalami kecederaan.
Menurutnya, dalam kejadian sekitar jam 3.35 petang itu, kereta peronda polis yang dinaiki dua anggota lelaki masing-masing berusia 48 dan 42 tahun dipercayai dalam perjalanan dari arah Lumut menghala ke Jelapang.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu Perodua Kelisa yang datang dari arah bertentangan disyaki secara tiba-tiba hilang kawalan lalu memasuki laluan kereta peronda tersebut sehingga berlaku kemalangan,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Beliau berkata, kemalangan itu mengakibatkan kedua-dua kenderaan terlibat mengalami kerosakan teruk.
“Kesemua mangsa yang cedera telah dihantar ke HRPB Ipoh untuk mendapatkan rawatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kita juga sedang mengesan rakaman papan pemuka (dashboard) dan saksi bebas bagi membantu mengenal pasti punca kemalangan ini,“ ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Lelaki maut terjatuh ketika menjala ikan di tebing kolam miliknya


