IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Tahun 2026 di Stadium Indera Mulia, di sini, pada Sabtu.
Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.
Majlis itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahhim: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; barisan Exco, wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan.
Keberangkatan tiba baginda pada jam 3.05 petang disambut lebih 15,000 tetamu dan orang ramai yang hadir.

Sultan Nazrin kemudian berkenan menggaul ‘yee sang’ sebagai simbolik sambutan perayaan.
Sambutan anjuran Kerajaan Negeri Perak itu turut diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan dan nyanyian.
Antaranya adalah persembahan tarian singa dan naga, persembahan permainan alat muzik tradisional Cina, persembahan tarian, persembahan gendang, persembahan opera Cina, pertunjukan seni wushu dan persembahan seni menukar topeng muka.

Pada majlis sama, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan sumbangan tunai kepada 69 anak yatim dan miskin berusia lima hingga 18 tahun melibatkan lima buah pertubuhan di seluruh Perak.
Pertubuhan Kebajikan Kanak-Kanak Berjasa Kinta; Pertubuhan Pengurusan Rumah Anak-Anak Yatim Dan Miskin Anning Ipoh; Pertubuhan Pengurusan Pusat Jagaan 1 Malaysia; Pusat Jagaan Pertubuhan Badan Kebajikan Anak-Anak Yatim Darussalam Ipoh dan Persatuan Kebajikan Kanak-Kanak Yatim Rumah Visi (Vision Home) Ipoh. – MG Perak


