PUTRAJAYA – Kerjasama strategik antara Malaysia dan syarikat semikonduktor terkemuka dunia dari United Kingdom (UK), ARM Holdings Plc adalah mandat yang telah diputuskan di peringkat Kabinet demi pembangunan industri itu.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pelaksanaannya akan diteruskan seperti dirancang walaupun sedang berdepan siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Beliau turut memberi jaminan kementeriannya akan memberikan kerjasama penuh kepada SPRM antaranya dari segi penyediaan dokumen serta maklumat berkaitan.
“Keputusan negara menjalinkan hubungan dengan ARM Holdings adalah keputusan mandat daripada Kabinet.
“Maka sudah pasti segala proses ini kita teruska termasuk akses kepada harta intelek (IP) untuk membolehkan pemain industri semikonduktor kita terlibat dalam reka bentuk cip,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Banci Ekonomi 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Turut hadir, timbalannya, Datuk Mohd Shahar Abdullah dan Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin.
Baru-baru ini terdapat dakwaan salah laku dan rasuah yang dikaitkan dengan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dilapor melibatkan perjanjian antara kerajaan dan ARM Holdings Plc bernilai RM1.1 bilion serta projek solar berkapasiti 750 megawatt yang dilaksanakan oleh UEM Lestra bernilai RM2.5 bilion.
Bagaimanapun, Rafizi menafikan dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai cubaan mencemar reputasinya.
Beliau juga menegaskan bahawa tiada bukti fizikal atau transaksi wang yang menunjukkan penglibatannya dalam kedua-dua kes tersebut.
Ahli Parlimen Pandan itu turut menyifatkan tuduhan berkenaan sebagai satu bentuk ‘fitnah overkill’ kerana jumlah RM3.6 bilion yang dikaitkan dengannya lebih besar daripada jumlah RM2.3 bilion yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB). – MalaysiaGazette


