KUALA LUMPUR – DAP menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membentangkan pelan hala tuju yang jelas untuk dilaksanakan bagi mencegah salah guna kuasa dalam agensi itu pada masa depan.
Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo berkata, Ketua Pesuruhjaya yang baharu dilantik, Datuk Seri Abdul Halim Aman perlu menggariskan visinya dalam usaha memulihkan keyakinan orang ramai terhadap agensi tersebut.
Menurut beliau yang juga Menteri Digital, tindakan awal yang diambil bekas hakim berpengalaman itu akan menentukan langkah awal dan akhir kepimpinannya.
“Saya menantikan pembaharuan yang amat diperlukan dalam SPRM dengan pelantikan ketua pesuruhjaya yang baharu berkuat kuasa 13 Mei.
“Keutamaan segera beliau adalah untuk memulihkan keyakinan orang ramai terhadap SPRM.
“Ini memerlukan menangani dakwaan aktiviti `mafia korporat’ yang melingkari agensi itu dan menyelesaikan kontroversi pegangan saham melibatkan Tan Sri Azam Baki,” ujarnya menerusi kenyataan dalam laman sosial Facebook hari ini.
Gobind yang juga Ahli Parlimen Damansara mengulas pelantikan bekas Hakim Mahkamah Tinggi itu menerajui SPRM menggantikan Azam yang tamat kontrak 12 Mei ini.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar memaklumkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenan pelantikan itu selepas cadangan dikemukakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jumaat lalu.
Mengulas mengenai dakwaan mafia korporat, Gobind berkata, persoalan ditimbulkan mengenai penglibatan pegawai SPRM tertentu yang disyaki bersekongkol dalam gerakan korporat semasa siasatan.
“Tuntutan serius ini memberi kesan kepada integriti dan kredibiliti SPRM dan ia mesti ditangani tanpa rasa takut, pilih kasih atau penangguhan, dengan garis masa yang jelas ditetapkan untuk menyelesaikan proses ini,” ujarnya.
Berhubung isu pegangan saham, Gobind berkata, perkara itu masih belum selesai walaupun Kabinet mengarahkan tindakan berhubung perkara tersebut sejak sebulan lalu.
Katanya, beliau maklum kenyataan Shamsul Azri yang menjelaskan bahawa proses formal mesti diikuti.
Namun jelas pemimpin DAP itu, proses tersebut tidak boleh berterusan selama-lamanya kerana pesuruhjaya yang baharu sepatutnya memulakan perkhidmatan tanpa dakwaan yang berlarutan.
Ujarnya, oleh kerana jawatankuasa khas yang diketuai oleh Peguam Negara telah pun membentangkan penemuannya kepada Jemaah Menteri, perkara tersebut mesti dimuktamadkan dengan cepat. – MalaysiaGazette


