IPOH – Lebih 5,000 pengunjung dari dalam dan luar Perak memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Hari Vaisakhi peringkat negeri yang diadakan di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC), di sini pada Sabtu.
Program tahunan itu dianjurkan Pertubuhan Kesejahteraan Masyarakat Sikh Perak (PKMSP) bersama beberapa Gurdwara Sahib serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sekitar negeri ini.
Majlis tersebut bukan sahaja dihadiri komuniti Sikh, malah turut disertai kaum lain, mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang bangsa.
Pelbagai acara diadakan sepanjang majlis berlangsung termasuk persembahan kebudayaan komuniti Sikh, aktiviti permainan bersama kanak-kanak serta jualan barangan.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A. Sivanesan berkata, program tersebut turut mendapat kerjasama daripada kerajaan negeri dengan peruntukan sebanyak RM100,000 bagi menjayakannya.

“Komuniti Sikh mempunyai semangat kesatuan yang tinggi, malah ramai golongan professional turut lahir daripada komuniti tersebut.
“Jadi ada banyak perkara yang kita boleh belajar dari komuniti ini,” katanya selepas menghadiri majlis tersebut di sini.
Hadir sama, Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi dan Pegawai Penyelaras Sikh Perak, Baldip Singh.
Katanya, walaupun komuniti Sikh merupakan golongan minoriti dalam kalangan masyarakat India di negara ini, mereka tetap memainkan peranan penting dalam pembangunan sosial dan ekonomi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak sasar selesaikan isu kuil tanpa kebenaran dalam tempoh setahun


