KAMPAR – Tiada kluster Tuberkulosis atau Tibi direkodkan di Perak dengan kadar jangkitan merupakan antara negeri yang terendah kata, Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr. Feisul Idzwan Mustapha.
Menurut beliau, sebarang bentuk maklumat terperinci berkenaan kes tibi akan dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui kenyataan akhbar.
“Namun begitu, secara amnya, Perak menunjukkan kadar jangkitan antara negeri yang paling rendah.
“Setakat ini kalau melihat pada kenyataan akhbar (KKM) dan yang memang saya boleh sahkan, memang tiada kluster Tibi di Perak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Pelancaran Ops Ramadan Peringkat Negeri Perak Tahun 2026 di Tapak Bazar Ramadan Dataran Bandar Baru Kampar, di sini, pada Selasa.

Hadir sama merasmikan majlis Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A. Sivanesan dan Yang Dipertua Majlis Daerah Kampar, Ahmad Suqairy Alias.
Dr Feisul Idzwan turut menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan penularan Tibi terutamanya golongan berisiko tinggi yang mempunyai penyakit kronik khususnya penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, penyakit paru-paru, golongan warga emas dan lain-lain.
“Jadi kalau berisiko itu, saya harap mereka boleh mengurangkan keadaan bersesak-sesak dan jika perlu, pemakaian penutup muka amat digalakkan,” katanya.
Berdasarkan Kenyataan Media yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 21 Februari lalu Perak merekodkan 154 kes sehingga Minggu Epidemiologi ke-6. -MG Perak


