Konflik Asia Barat: Kerajaan bincang usaha bawa pulang pelajar Malaysia – Adam Adli

IPOH – Kerajaan sedang membincangkan pelbagai usaha untuk membawa pulang rakyat Malaysia termasuk pelajar di negara yang terkesan susulan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim berkata, ia telah dibawa dan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu sebagai langkah awal menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya situasi keselamatan di rantau Asia Barat itu terus meruncing.

Katanya, kerajaan sentiasa mengutamakan keselamatan setiap warga Malaysia yang sedang berada di luar negara, khususnya di kawasan-kawasan yang sedang bergolak atau berdepan konflik.

Kerajaan bincang bawa pulang pelajar Malaysia dari Asia Barat Adam Adli usaha bawa pulang rakyat Malaysia konflik Asia Barat Iran Amerika Syarikat Israel mesyuarat Jemaah Menteri isu keselamatan pelajar
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim pada sesi sidang media ketika hadir merasmikan Apple Education Classroom di Politeknik Ungku Omar, Ipoh, pada Rabu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 04 MAC 2026.

“(Ibu bapa atau ahli keluarga) diminta untuk sentiasa berhubung dengan Wisma Putra untuk mengetahui perkembangan terkini situasi anak-anak mereka (di negara terlibat).

“Atau boleh juga berhubung terus kerana saya percaya mereka yang di negara-negara terbabit masih boleh dihubungi.

“Namun pada masa sama, dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini turut dibincangkan soal (usaha untuk) membawa pulang warga Malaysia (termasuk pelajar) yang terkandas di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Apple Education Classroom bersempena Majlis Iftar Perdana di Politeknik Ungku Omar di sini, pada Rabu.

Mengulas lanjut Adam Adli turut meminta agar ibu bapa atau waris untuk tidak terlalu khuatir sebaliknya meletakkan keyakinan kepada Wisma Putra dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam menguruskan soal kebajikan pelajar yang berada di rantau berkenaan.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim hadir ke Majlis Perasmian Apple Education Classroom di Politeknik Ungku Omar, Ipoh, pada Rabu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 04 MAC 2026.

Tambah beliau, hubungan diplomatik Malaysia yang baik dengan negara-negara luar turut menjadi kelebihan dalam memberikan bantuan konsular dan sokongan diplomatik berjalan dengan lancar.

“Kita pernah beberapa kali melalui saat-saat getir seperti ini di negara-negara berbeza dan Alhamdulillah berjaya membawa pulang warga kita dengan selamat.

“Selalunya keutamaan juga akan diberikan kepada Malaysia hasil daripada kerjasama dan hubungan diplomatik yang baik oleh negara kita. Itulah jaminan yang boleh kita berikan kepada ibu bapa dan ahli keluarga pelajar,” ujarnya lagi.

Pada masa sama, Adam Adli turut mengesa agar para pelajar di negara-negara yang terlibat dengan konflik tersebut untuk sentiasa berhubung dengan pihak kedutaan serta mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan.

“Saya percaya wakil dan kedutaan kita di Iran serta negara-negara sekeliling yang terlibat dengan konflik sudah pun bersedia dengan pelan kecemasan.

“Pelajar atau mana-mana rakyat Malaysia yang terkandas diminta mengikut setiap arahan dan melaporkan diri dengan segera kepada pihak berkuasa berkaitan,” ujarnya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Wisma Putra nasihat tangguh perjalanan tidak penting ke Timur Tengah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI