LUMUT – Konsep ‘Rumah Bangsa’ tidak tertumpu secara khusus terhadap mana-mana individu tertentu sebaliknya ia terbuka kepada semua bekas pemimpin dan ahli UMNO.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, setiap individu yang pernah bersama parti berkenaan mempunyai kekuatan dan sumbangan masing-masing.
“Konsep rumah bangsa ini bukan hanya terkhusus kepada satu-satu individu. Kita buka kepada semua sebab konsep kita ialah konsep “collective action”
“Kita bergerak secara secara kolektif dan UMNO itu adalah sebagai landasan bukan untuk seorang tetapi untuk semua termasuklah Khairy Jamaluddin dan sebagainya.
“Ini kerana masing-masing mempunyai kekuatan, masing-masing mempunyai sumbangan yang boleh dilaporkan seperti yang disebutkan oleh Presiden (UMNO), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,” katanya.
Zambry yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hasrat bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin untuk kembali ke pangkuan UMNO.

Ia rentetan selepas Ahmad Zahid memaklumkan UMNO membuka pintu seluas-luasnya kepada bekas ahli yang dipecat atau digantung.
Terdahulu Zambry hadir ke Majlis Penyampaian Bantuan Wang Ihsan (BWI) Daerah Manjung di Bako-Bako Resto di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Meor Ismail Meor Akim.
Mengulas lanjut Zambry berkata, konsep ‘Rumah Bangsa’ yang disebutkan Ahmad Zahid merupakan idea besar Presiden UMNO berkenaan di mana beliau menyuarakan secara terbuka untuk mereka yang sebelum ini keluar atau dipecat dari UMNO kembali semula.
“Dengan semangat Ramadan yang ada dan ia merupakan satu prinsip yang sangat baik kerana prinsip dalam parti khususnya dalam UMNO dan Barisan Nasional ini ialah untuk misi perpaduan, kedamaian, keamanan dan kestabilan.
“Itulah rangka besar parti UMNO, Barisan Nasional dan semua komponen dan juga yang lain-lain iaitu untuk kita mengekalkan keamanan dalam semua ‘Rumah Bangsa yang besar ini,” katanya. -MG Perak


