PUTRAJAYA – Operasi pencarian baharu bagi mengesan bangkai pesawat Malaysia Airlines MH370 di kawasan baharu di selatan Lautan Hindi masih belum menemukan sebarang petunjuk lokasi pesawat berkenaan.
Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB), Kementerian Pengangkutan memaklumkan pada 25 Mac tahun lepas, kerajaan Malaysia telah menandatangani perjanjian dengan Ocean Infinity untuk melaksanakan operasi pencarian dasar laut bagi mengesan bangkai pesawat penerbangan MH370 di kawasan baharu dianggarkan seluas 15,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi.
Menurut kenyataan AAIB, operasi berkenaan adalah mengikut prinsip “tiada penemuan, tiada bayaran”, yang dijalankan dalam dua fasa iaitu Fasa 1 antara 25 hingga 28 Mac, manakala Fasa 2 dari 31 Dis 2025 hingga 23 Jan 2026.
“Ocean Infinity telah memaklumkan bahawa aktiviti tinjauan tambahan turut dijalankan dalam kawasan pencarian yang lebih luas sebelum perjanjian rasmi dimeterai pada Mac 2025, sebagai sebahagian daripada usaha menyokong operasi pencarian,” menurut kenyataan itu.
Menurut AAIB, operasi berkenaan turut mengalami gangguan secara berkala akibat keadaan cuaca dan laut, dengan Fasa 2 berakhir pada 23 Jan tahun ini.
“Sehingga tarikh kemas kini ini, aktiviti pencarian yang dijalankan belum menghasilkan sebarang penemuan yang mengesahkan lokasi bangkai pesawat berkenaan,” menurut kenyataan itu.
AAIB memaklumkan kerajaan kekal komited menyalurkan maklumat dan perkembangan terkini kepada keluarga yang terlibat.
Pesawat Malaysia Airlines MH370 hilang dari radar pada 8 Mac 2014, ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing bersama 239 penumpang serta anak kapal.
Meskipun operasi pencarian, iaitu antara yang terbesar dalam sejarah penerbangan, telah dijalankan secara bersama oleh Malaysia, Australia dan China, pesawat berkenaan masih gagal dikesan dalam zon pencarian utama di selatan Lautan Hindi.
Sejak itu, beberapa serpihan pesawat yang disahkan atau dipercayai berasal daripada MH370 telah ditemukan di sepanjang pantai di barat Lautan Hindi termasuk Mozambique, Madagascar dan Pulau Reunion.
— BERNAMA


