Tangani isu rumah ibadat tanpa kelulusan secara berhemah

TANJUNG MALIM – Isu rumah ibadat yang dibina tanpa kelulusan rasmi pihak berkuasa terus menjadi perbincangan dalam masyarakat, khususnya apabila melibatkan kawasan awam atau berhampiran kemudahan sensitif seperti hospital, jalan utama dan laluan pejalan kaki.

Pensyarah di Jabatan Geografi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains Kemanusiaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr Kamarul Ismail berkata, perkara itu kembali menjadi perhatian selepas tular beberapa perbincangan dalam media sosial berkaitan sebuah rumah ibadat terletak berhampiran kawasan hospital.

Menurutnya, perkara itu telah menimbulkan persoalan mengenai status tanah serta kesesuaian lokasi struktur tersebut.

Katanya, walaupun kes itu masih memerlukan pengesahan pihak berkuasa tempatan (PBT), perbincangan dalam talian menunjukkan wujudnya pelbagai pandangan masyarakat termasuk berkaitan gangguan kepada pesakit hospital, isu penggunaan ruang awam serta peranan pihak berkuasa dalam penguatkuasaan peraturan pembangunan.

“Kewujudan rumah ibadat yang dibina tanpa kelulusan rasmi bukan perkara baharu dalam landskap bandar di Malaysia.

“Keadaan itu lazim berlaku apabila struktur keagamaan kecil dibina secara tidak formal oleh komuniti setempat sebelum sesuatu kawasan mengalami pembangunan pesat.

“Dalam banyak kes, rumah ibadat kecil seperti kuil bermula sebagai struktur sementara atau tempat ibadat komuniti sebelum kawasan tersebut berkembang menjadi kawasan bandar yang padat dengan kemudahan awam seperti hospital, jalan raya dan kawasan perumahan.

“Apabila pembangunan bandar semakin pesat, struktur yang pada asalnya kecil dan tidak formal ini boleh menimbulkan konflik ruang kerana kedudukannya mungkin tidak lagi sesuai dengan fungsi kawasan sekitar,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, isu tersebut perlu ditangani secara profesional dan berlandaskan undang-undang bagi mengelakkan ia dimanipulasi sehingga mencetuskan ketegangan antara kaum.

“Kerajaan melalui PBT perlu menjalankan audit menyeluruh terhadap status tanah serta struktur rumah ibadat yang dibina tanpa kelulusan rasmi.

“Sekiranya didapati berada di kawasan awam seperti rizab jalan, laluan pejalan kaki atau berhampiran kemudahan kritikal, penyelesaian perlu dilaksanakan secara berhemah dengan mengambil kira kepentingan semua pihak,” jelasnya.

Katanya, antara pendekatan yang boleh dipertimbangkan ialah penempatan semula rumah ibadat ke lokasi yang lebih sesuai melalui rundingan bersama komuniti terlibat.

“Pendekatan ini bukan sahaja membantu menyelesaikan isu perancangan bandar, malah dapat mengelakkan konflik sosial yang berpanjangan,” ujarnya.

Kamarul turut menegaskan bahawa isu seperti ini tidak seharusnya dilihat dari sudut perkauman semata-mata, sebaliknya sebagai cabaran tadbir urus bandar yang memerlukan penyelesaian inklusif serta pengurusan ruang bandar yang lebih sistematik.

Tambahnya, pendekatan berasaskan undang-undang, dialog komuniti dan perancangan bandar yang teliti amat penting bagi memastikan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini terus terpelihara. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

MIC tubuh jawatankuasa bantu tangani isu pembinaan kuil tanpa kebenaran 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI