Bayi empat bulan maut: Dua pekerja pusat asuhan direman tujuh hari

BUKIT MERTAJAM – Dua pekerja pusat asuhan dalam kawasan Hospital Seberang Jaya (HSJ) yang ditahan susulan kematian seorang bayi lelaki berusia empat bulan semalam, direman tujuh hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Helmi Aris berkata perintah reman terhadap dua wanita berusia 22 tahun sehingga 16 Mac dikeluarkan Mahkamah Majistret Bukit Mertajam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, iaitu membunuh.

Beliau berkata polis menerima laporan daripada pegawai perubatan Jabatan Kecemasan HSJ pada 6.10 pagi semalam, memaklumkan seorang bayi lelaki disahkan meninggal dunia pada 4.20 pagi selepas dibawa ke hospital oleh pengasuh sebuah taska.

“Susulan maklumat itu, polis telah menjalankan siasatan lanjut di lokasi kejadian dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis tersebut.

“Hasil siasatan awal, polis menahan dua wanita tempatan yang merupakan pekerja di pusat asuhan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Helmi berkata bedah siasat telah dijalankan namun punca kematian masih belum dapat dipastikan dan diklasifikasikan sebagai masih dalam siasatan sementara menunggu keputusan ujian serta siasatan lanjut.

Semalam, polis mengesahkan kematian Hayl Haarith Mohd Syafaeez yang dikejarkan ke Jabatan Kecemasan HSJ dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas dihantar ke pusat jagaan itu kerana ibunya, seorang jururawat bertugas syif malam.

Difahamkan doktor telah melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) kepada mangsa selama kira-kira sejam.

Pusat jagaan itu beroperasi 24 jam sehari dan dipantau penyelia serta dilengkapi CCTV.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI