IPOH – Rata-rata peniaga pakaian Raya menarik nafas lega apabila jualan mereka mendapat sambutan dalam kalangan pembeli yang masih ingin membeli secara fizikal berbanding dalam talian.
Pekerja Sara Collection, Nur Syasya Adila Mohamad Taib, 22, yang bekerja sejak tiga tahun lalu berkata, sambutan pelanggan kebiasaannya meningkat dengan ketara bermula awal bulan Ramadan, khususnya pada hujung minggu.

“Kalau dari awal bulan puasa itu banyak sambutan (pelanggan) terutamanya hari Sabtu dan Ahad sebab ramai yang cuti. Kalau hari biasa, hujung-hujung dekat Raya baru ramai orang datang,“ katanya ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak di Pasar Raya Besar Mydin Meru di sini pada Selasa.
Dia turut menjelaskan bahawa harga jualan pakaian kini berada pada paras standard berikutan kos operasi yang semakin meningkat, termasuk sewa tapak perniagaan.
“Harga standard bermula dari RM100, RM150 dan ke atas. Bagaimanapun, dekat Raya mungkin ada potongan harga tapi sekarang pun banyak baju di sini harga sudah turun,“ jelasnya.
Secara keseluruhan, Nur Syasya Adila menyifatkan sambutan pelanggan setakat ini berada pada tahap memuaskan.

Pengurus Sania Collection, Ezwarina Aida Ahamad, 45, berkata pembelian di kedai tersebut sudah mula rancak sejak awal Ramadan.
“Sejak awal puasa pun dah mula membeli. Dalam dua minggu sebelum raya ini, rancaklah mereka (pelanggan) punya pembelian,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa harga yang ditawarkan di kedainya yang menjual tudung mampu milik dan sesuai untuk semua golongan.
“Harga yang kami tawarkan di kedai mampu milik dan semua golongan boleh (beli) dekat sini. Kiranya tiada isulah (tentang harga), tiada pelanggan yang merungut. Mereka pun terkejut harga dekat sini murah sangat. Mereka terkejutlah dengan harga dekat sini,” tambahnya.

Ezwarina Aida berkata, respons positif pelanggan terhadap harga yang ditawarkan jelas menunjukkan minat tinggi terhadap persiapan menjelang Hari Raya. – MG Perak
Sementara itu, Muhammad Al Ghiffari, 31, berkata, sambutan jualan Aidilfitri pada tahun ini dilihat kurang meriah berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Dia yang berniaga baju kurung, jubah serta tudung berkata, keadaan itu berbeza terutama jika dibandingkan dengan tempoh selepas pandemik COVID-19.
“Saya berniaga baju kurung, jubah serta tudung untuk raya. Jualan untuk Raya kali ini tidak berapa meriah sangat seperti tahun sebelumnya.

“Macam sebelum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) kita tahu memang lama orang tidak beraya, jadi apabila waktu selepas PKP itu orang memang hendak sangat beraya. Jadi masa itu memang antara yang paling menyeronokkan untuk berniaga.
“Tapi untuk sekarang agak perlahan sedikit, tidak macam raya-raya sebelum ini. Ada (jualan), Cuma tidak meriah macam dulu,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


