KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membatalkan saman pemula difailkan P. Waytha Moorthy bagi mencabar pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Tambun.
Hakim Alice Loke Yee Ching, ketika membenarkan permohonan itu, memutuskan bahawa mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar saman berkenaan kerana sebarang cabaran membabitkan isu pilihan raya perlu dikemukakan melalui petisyen pilihan raya.
“Saman ini tidak dapat dipertahan atau dihujahkan… plaintif tidak mempunyai harapan untuk berjaya… oleh itu, permohonan bagi membatalkannya adalah dibenarkan,” katanya.
Loke juga berkata Mahkamah Tinggi, ketika mendengar saman pemula itu, tidak bersidang sebagai Mahkamah Pilihan Raya dan tindakan perundangan berkenaan juga tidak difailkan melalui petisyen pilihan raya.
Beliau berkata Seksyen 33(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 memperuntukkan bahawa petisyen pilihan raya hendaklah dibicarakan oleh hakim pilihan raya, iaitu hakim Mahkamah Tinggi yang dilantik oleh Ketua Hakim Negara untuk mendengar perkara sedemikian.
Peguam Ranjit Singh yang mewakili Anwar Ibrahim kemudian memohon kos sebanyak RM125,000 atas alasan tindakan plaintif, sebagai seorang peguam kanan, adalah penyalahgunaan proses mahkamah.
“Jadi, jika perkara ini dinilai dari sudut perundangan, kami berhak mendapat kos secara automatik.
“Yang Arif, anak guam saya telah dilantik sebagai Perdana Menteri pada 2022 namun saman ini hanya difailkan pada tahun lepas,” katanya.
Peguam S. Karthigesan, yang mewakili Waytha Moorthy, pula berhujah perkara itu melibatkan kepentingan negara dan awam bukannya isu peribadi, serta memohon agar mahkamah tidak membuat sebarang perintah berhubung kos.
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan Waytha Moorthy membayar kos sebanyak RM80,000 kepada Anwar.
Waytha Moorthy turut hadir pada prosiding hari ini.
Pada 12 Ogos tahun lepas, Waytha Moorthy memfailkan saman pemula bagi mendapatkan deklarasi bahawa pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri pada 24 Nov 2022 adalah tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak sah.
Beliau turut memohon deklarasi bahawa pemilihan Anwar sebagai Ahli Parlimen Tambun dalam Pilihan Raya Umum ke-15 juga tidak berperlembagaan dan tidak sah.
Susulan itu, pada Oktober 2025, Anwar memfailkan permohonan untuk membatalkan saman tersebut atas alasan ia melanggar pelbagai keperluan mandatori dari segi prosedur, perlembagaan serta peruntukan undang-undang yang ditetapkan bagi mencabar atau mempersoalkan keputusan pilihan raya.
Beliau juga berkata saman itu tidak berasas, tidak mendedahkan sebarang kausa tindakan yang munasabah dan penyalahgunaan proses mahkamah.
— BERNAMA


