IPOH – Program Fiesta Raya Ipoh Riverfront @ Old Town menerima sambutan menggalakkan daripada pengunjung yang secara tidak langsung menyokong usaha meningkatkan ‘walkability’ dan menjadikan bandar raya ini lebih mesra keluarga pada waktu malam.
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee berkata, program yang berlangsung selama enam hari bermula 13 Mac hingga semalam itu berjaya menarik kira-kira 10,000 pengunjung dari dalam dan luar Perak.
Menurutnya, program tersebut adalah yang kedua diadakan di Kinta Riverwalk kurang sebulan selepas Chinese New Year @ Riverwalk.
“Ini merupakan projek kami untuk mengadakan lebih banyak tempat-tempat tumpuan dan juga meningkatkan ‘walkability’ di Ipoh ini, terutamanya pada waktu malam.
“Selain itu, ia juga sebahagian daripada usaha kami untuk menghubungkan tempat-tempat supaya apabila kita bergerak pada waktu malam, Ipoh menjadi satu tempat yang sesuai untuk bersama keluarga beriadah dan juga berjalan-jalan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian penutup program Fiesta Raya Ipoh Riverfront @ Old Town di Kinta Riverwalk di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Loh berkata, penganjuran program berkenaan adalah sebahagian usaha bagi menghubungkan kawasan tumpuan tersebut bagi mewujudkan laluan yang lebih mesra pejalan kaki.
Katanya, antara tempat-tempat yang menjadi kebiasaan tumpuan, terutamanya apabila pelancong atau pelawat di pusat bandar ini adalah di Gerbang Malam, Greentown dan seperti Kinta Riverfront.
“Usaha kami mengadakan program seperti ini adalah untuk menyambungkan lagi satu ‘hotspot’ kepada tempat lain, iaitu antara Pekan Lama kepada Pekan Kinta Riverfront.
”Jadi dengan ini kami melengkapkan satu huruf ‘L’ atau huruf ‘C’ di mana pelancong atau pelawat boleh berjalan daripada Old Town ke Gerbang Malam, ataupun Old Town ke Riverfront.
”Kalau yang lebih ‘adventurous’, boleh berjalan daripada Greentown di hotel-hotel dekat dengan MBI (Majlis Bandaraya Ipoh), boleh jalan ke Gerbang Malam, boleh jalan ke Old Town, dan selepas Old Town boleh sampai terus ke (Kinta) Riverfront dan sebaliknya,” ujarnya.
Sementara itu, Loh berkata, sepanjang penganjuran Fiesta Raya Ipoh seramai 40 vendor tempatan mengambil bahagian dengan menawarkan pelbagai produk termasuk pakaian, aksesori, makanan dan minuman, selain barangan perayaan serta kraf tangan.

Loh berkata, pelbagai pengisian hiburan turut diadakan sepanjang program itu berlangsung antaranya, persembahan daripada Nafas Band, Nameless Project, ‘Ride and Reflect’ bersama Ustaz Hanafiah dan ‘Adik Roti Canai Terbang’.
Tambahnya, program tersebut dilihat berjaya menarik kehadiran orang ramai yang hadir bersama keluarga dan rakan-rakan serta menghidupkan suasana malam di bandar raya ini. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


