IPOH – Walaupun teknologi telefon pintar kini semakin canggih, namun khidmat jurugambar profesional terus menjadi pilihan utama dalam kalangan masyarakat ketika ini dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Jika suatu ketika dahulu potret keluarga dirakam di kedai gambar lama, kini kemunculan studio fotografi moden yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan terutama di bandar raya ini menawarkan pengalaman lebih menarik bagi mereka yang mahu mencuba kelainan.
Di sebalik pakaian hari raya yang sedondon, sesi merakam potret keluarga bertambah seri dengan sentuhan kreatif pengusaha-pengusaha studio seperti penggunaan tirai latar, set dan prop yang menarik.

Tinjauan mendapati, orang ramai sanggup berbelanja ratusan ringgit demi mendapatkan hasil gambar yang lebih profesional, selain melihatnya sebagai pelaburan terhadap nilai sentimental yang akan dikenang sepanjang masa.
Bagi pelajar, Nur Adriana Mohd Ehsan Kennedy, 23, keputusan membawa keluarganya ke studio fotografi pada hari raya tahun ini dibuat selepas mereka merancang untuk mempunyai sebuah gambar formal yang lebih berkualiti.

“Selama ini kami satu keluarga memang tak ada gambar raya yang betul-betul formal. Jadi pada tahun ini kebetulan ada bajet sedikit, kami sepakat untuk buat sesi fotografi di studio sebagai kenangan,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak.
Katanya, kos sesi fotografi tersebut pula ditanggung secara bersama-sama oleh tiga anggota keluarga dalam kalangan adik-beradik.

“Saya buat carian studio fotografi untuk gambar keluarga ini di media sosial TikTok dan selepas jumpa yang berkenan, akhirnya kami buat keputusan untuk bergambar pada hari kedua Syawal.
“Kami kongsi bayaran dan semua setuju dengan harga yang ditawarkan. Proses tempahan pun mudah kerana dibuat melalui laman web dan perkhidmatannya sangat profesional,” katanya.
Dalam pada itu, kakitangan swasta, Mohd Syafiq Mohd Yusof, 40, berkata, sesi fotografi di studio kali ini diadakan selepas adiknya baharu sahaja mendirikan rumah tangga.
Menurutnya, perbelanjaan sekitar RM400 bagi satu sesi dianggap berbaloi memandangkan hasil gambar yang diperoleh lebih berkualiti dan sesuai dijadikan hiasan di rumah.

“Sebenarnya ini merupakan kali pertama untuk keluarga kami bergambar di studio fotografi, lebih-lebih lagi sempena kehadiran ahli keluarga baharu. Kami ambil peluang ini untuk merakam kenangan bersama.
“Saya berpandangan kualiti gambar di studio lebih cantik dan profesional berbanding jika kita ambil sendiri menggunakan telefon pintar,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi kakitangan swasta, Zaireen Zainuddin, 39, turut berkongsi keterujaan sama apabila pertama kali mencuba pengalaman bergambar hari raya di studio fotografi bersama keluarganya.

“Selama ini memang kami ada sahaja ambil gambar keluarga pada setiap kali sambutan hari raya, akan tetapi ia hanya dilakukan di rumah sahaja dengan menggunakan telefon pintar.
“Cuma pada kali ini, kami hendak buat kelainan dan semua sangat teruja untuk cuba suasana baharu bergambar hari raya di studio.
“Pada masa sama, sesi ini juga dapat menambahkan lagi keceriaan Aidilfitri apabila semua ahli keluarga bersungguh-sungguh bersiap untuk berkumpul dan bergambar bersama,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


