IPOH – Bermula daripada kecenderungan mendalam terhadap seni kraf batik, Noor Laili Abdul Hamid, 46, memulakan langkah sebagai pengusaha Leo Batik dengan pendekatan unik, iaitu menggunakan tanah liat sebagai salah satu medium utama dalam proses pembuatannya.
Disebabkan tertarik dengan dunia fesyen dan keindahan seni batik dia mengambil keputusan untuk mendalami dan mengusahakan perniagaan tersebut pada awal tahun 2024.
Berbekalkan sedikit pengetahuan dan pengalaman dalam pembuatan batik, dia terdorong untuk mengembangkan perniagaan dengan mengeluarkan modal sendiri serta dibantu pasukan yang terdiri daripada ahli keluarga dan rakan rapat.
“Awal tahun 2024, saya mula tertarik dengan dunia fesyen dan jatuh cinta dengan keindahan batik. Disebabkan mempunyai sedikit ilmu batik dan pembuatannya, timbul minat hendak mengembangkan bisnes batik saya.
“Saya sebenarnya berkongsi hasrat tersebut dengan kawan-kawan terdekat dan mereka mendorong saya untuk belajar batik dengan mana-mana usahawan yang hebat.

“Dari situ, saya tidak menoleh ke belakang dan mula menimba ilmu mengenai batik bersama rakan sepasukan dari semasa ke semasa sehinggalah satu hari kami diberi peluang oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk membuka reruai jualan di perkarangan Stadium Perak,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak di Kledang di sini baru-baru ini.
Bermula dengan percubaan pertama menghasilkan batik sendiri, Noor Laili mengakui beliau pada awalnya berasa kurang yakin dengan kemampuan diri.
“Kali pertama untuk mencuba hendak menghasilkan batik saya sendiri, saya rasa macam naif juga kerana mempunyai ilmu yang cetek, belum lagi mula, tapi menerima sambutan yang sangat-sangat luar biasa.
“Walaupun batik yang dihasilkan tidak setanding atau sehebat orang ada sekarang ini, tetapi saya cuba lagi perbaiki,” ujarnya.
Menurutnya, peluang mula terbuka apabila dia menerima tawaran semasa daripada pemilik Canning Dim Sum untuk membuka reruai di premis berkenaan dan dari situ dia menerima rangkaian yang luas kerana orang ramai mula melihat kehadiran produk keluaran Leo Batik.

Sepanjang sebulan beroperasi di premis tersebut, Noor Laili bukan sahaja menjual produk batik, malah turut mengadakan demonstrasi pembuatan bagi memberi pendedahan kepada pengunjung.
“Selama sebulan membuka reruai di premis berkenaan, saya mendapat maklum balas positif dan pelanggan mula membuat pesanan tempahan malah ada yang membuat pesanan berulang,” jelasnya.
MARA, StEP tampil beri bimbingan, bantuan
Noor Laili berkata, peluang bersama Majlis Amanah Rakyat (MARA) membuka ruang lebih besar kepada perniagaannya apabila beliau dijemput membuka reruai di ibu pejabat MARA di Kuala Lumpur yang berjaya mencatat jualan di luar jangkaan.
“Ini kali pertama saya bawa Leo Batik keluar dari Perak dan dekat situ saya rasa macam terkejut sangat-sangat sebab jualan saya tidak pernah saya jangka,” katanya.
Katanya, susulan itu dia turut menerima bimbingan MARA serta bantuan daripada Sekreteriat Usahawan Negeri Perak (STEP) bagi memudahkan urusan jualan.

“MARA turut memberikan bimbingan dan sokongan yang membantu saya mempelajari batik melalui kursus dan saya terus maju dalam bidang ini dengan bimbingan berterusan daripada MARA.
“Saya juga ada menerima bantuan mesin terminal dari STEP untuk memudahkan urusan jual beli dengan pelanggan,” ujarnya.
Warna terang, corak abstrak identiti Leo Batik
Dalam pada itu, Noor Laili berkata, Leo Batik amat menekankan kualiti bahan dan rekaan eksklusif dalam setiap koleksi mereka.
Dia berkata, fabrik yang digunakan adalah kapas sutera (cotton silk), manakala warna batik pula terang dan motifnya berbentuk abstrak yang sesuai dipakai dalam suasana santai mahupun ke tempat kerja.
“Kita menggunakan cotton silk dan ketengahkan warna. Di Leo Batik, kita menggunakan warna terang. Kemudian kita membawa motif yang berbentuk abstrak yang ideanya adalah hasil kreatif saya bersama pasukan.
“Motif yang ditampilkan kita hendak macam nampak santai tetapi boleh digayakan untuk waktu bekerja juga. Saya pentingkan keselesaan, sebab itu bahan cotton silk yang menjadi pilihan,” jelasnya.

Pada masa sama, Noor Laili menjelaskan bahawa proses pembuatan bermula dengan tanah liat yang dikeringkan dan diubah menjadi serbuk sebelum dicampur untuk dijadikan bahan clay.
“Seterusnya, proses mencipta motif menggunakan stensil yang dibeli secara dalam talian, menggantikan kaedah tembaga yang kurang sesuai. Semua proses adalah buatan tangan kecuali penggunaan mesin pengadun untuk mencampur bahan.
“Proses pembuatan batik mengambil masa bergantung pada jumlah tempahan. Untuk tempahan eksklusif, sehelai kain atau tudung boleh disiapkan dalam sehari, dengan setiap proses clay mengambil 30 hingga 40 minit sebelum dicuci dan diwarnakan.
“Setelah kita keringkan clay ini baru kita boleh masukkan warna. Bila kita masukkan warna, baru kita kena cuci buang segala tanah liat yang ada pada kain ini, kemudian baru boleh sedia untuk dikeringkan dan boleh dipakai,” ujarnya.

Harga serendah RM150
Menyentuh mengenai harga, dia berkata, produk batik yang menggunakan kapas sutera itu dijual pada harga sekitar RM150 hingga RM200 semeter.
“Kekuatan utama jenama Leo Batik adalah blazer batik memandangkan banyak pelanggan memberi maklum balas yang positif mengenai produk tersebut. Selain blazer, kami turut menawarkan kardigan, pario dan palazo.
“Harga produk kami boleh dianggap mampu milik, bermula serendah RM150 dan boleh mencecah sehingga RM700 atau RM800, bergantung pada jenis kain yang digunakan,” katanya.

Harap Leo Batik dapat tembus pasaran antarabangsa
Anak jati Perak ini turut menyatakan hasratuntuk memperkenalkan seni batik kepada generasi muda serta menembusi pasaran antarabangsa.
“Harapan saya, saya ingin menarik minat anak-anak muda untuk kenal batik, tahu tentang batik dan saya berhasrat batik saya dapat menembusi pasaran antarabangsa. InshaAllah,” ujarnya.

Dengan fokus kepada inovasi dan kreativiti dalam rekaan, Leo Batik berharap untuk menjadikan batik bukan sahaja sebagai warisan budaya, tetapi juga sebagai fesyen yang relevan untuk generasi moden. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


