GOPENG – Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Gopeng, di sini yang mencecah berusia 80 tahun akan berwajah baharu menerusi pembangunan semula bangunan sekolah daif membabitkan peruntukan berjumlah RM14.5 juta.
Peruntukan projek pembinaan semula bangunan sekolah itu diluluskan bawah Rolling Plan 1, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, projek bangunan tiga tingkat yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) itu dijangka bermula pada hujung tahun ini dan mengambil masa 22 bulan untuk disiapkan.
Menurutnya, beberapa tahun lalu didapati bahawa salah satu blok utama merangkumi bilik darjah dan blok pentadbiran menghadapi isu ancaman anai-anai serta diklasifikasikan oleh pihak JKR di bawah skala tujuh iaitu bangunan daif yang perlu dibina semula.
“Skop yang terlibat adalah untuk merobohkan blok bangunan daif yang sedia ada dan juga membina blok bangunan gantian merangkumi enam bilik darjah, pejabat pentadbiran, pejabat guru dan stor sukan.
“Pada masa yang sama, ada bangunan tambahan untuk memastikan anak-anak kita mendapat PdP (Pembelajaran dan Pengajaran) dengan efektif termasuklah Bengkel Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), makmal sains, bilik kesihatan, bilik bimbingan kaunseling dan bilik mesyuarat.
“Ini adalah skop apabila bangunan ini dibina semula di tapak asal seluas 0.8 hektar dengan jumlah siling peruntukan yang telah pun diluluskan oleh kerajaan adalah sebanyak RM14.5 juta.
“Sekiranya kesemua dijalankan dengan lancar, kita berharap bahawa kerja-kerja pembinaan dapat dimulakan pada akhir tahun ini.

“Secara amnya projek ini akan mengambil masa lebih kurang 22 bulan atau kurang dan kita berharap pada penghujung tahun 2028 projek ini dapat siap dan murid-murid boleh pindah masuk semula ke sekolah ini bagi tujuan pembelajaran,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke SJKT Gopeng bagi meninjau projek naik taraf bangunan daif sekolah berkenaan di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A Sivanesan dan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja, Sandrea Ng Shy Ching.
Katanya, sepanjang tempoh pembinaan, bilik darjah sementara berbentuk kabin akan disediakan bagi memastikan PdP dapat diteruskan tanpa gangguan.
“Kabin yang disediakan bukan seperti kabin biasa yang diangkut menggunakan lori, sebaliknya merupakan struktur bangunan khas yang lengkap serta direka sesuai untuk dijadikan ruang pembelajaran, dengan fasiliti dan keselesaan adalah terjamin,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


