BATU GAJAH – Program Memory Lane @ Tronoh yang berlangsung di Pekan Tronoh bukan sahaja berjaya menghidupkan semula suasana ekonomi setempat malah menjadi platform penting dalam mengeratkan perpaduan masyarakat berbilang kaum di kawasan itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Steven Tiw Tee Siang berkata, penganjuran program edisi ke-16 yang bertemakan sambutan Hari Raya Aidilfitri itu adalah inisiatif berterusan bagi mengubah persepsi bahawa Tronoh sebagai ‘pekan orang mati’.
Menurutnya, sejak beliau dilantik menjadi wakil rakyat di kawasan berkenaan pelbagai usaha digerakkan bersama golongan belia bagi merancakkan aktiviti ekonomi dan sosial di kawasan tersebut.
“Objektif utama program ini adalah untuk membantu masyarakat setempat khususnya untuk menambah pendapatan serta menghidupkan semula Pekan Tronoh supaya lebih meriah.

“Pada kali ini, Pejabat ADUN Tronoh dengan kerjasama Persatuan Sukan dan Kebajikan Tronoh (PSKT) bekerjasama untuk menjayakan program tersebut yang turut diserikan dengan kehadiran Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad,” katanya ketika ditemui pada program itu malam tadi.
Steven berkata, program kali ini mendapat sambutan luar biasa apabila jumlah kehadiran pengunjung mencecah sehingga 1,000 orang berbanding sasaran awal iaitu 600 orang.
“Pengunjung mula hadir seawal jam 4 petang hingga 12 tengah malam, menunjukkan sambutan yang amat menggalakkan daripada masyarakat setempat dan luar.
“Pelbagai tarikan disediakan sepanjang program termasuk gerai makanan, jualan bundle, Jualan Rahmah serta perkhidmatan seperti urutan kaki,” ujarnya.

Katanya, kira-kira 70 peratus peniaga yang terlibat adalah penduduk tempatan Tronoh, manakala selebihnya adalah peniaga dari luar yang dijemput bagi memeriahkan lagi suasana.
Dalam pada itu, beliau berkata, program tersebut turut memberi penekanan kepada aspek perpaduan dengan kehadiran melibatkan semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.
“Program ini akan terus dianjurkan pada masa hadapan sebagai usaha berterusan untuk membantu meningkatkan ekonomi setempat kawasan tersebut serta memperkukuh keharmonian komuniti di Tronoh,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


