TAIPING – Paras air di Taman Tasik Taiping dilaporkan masih berada pada tahap baik meskipun cuaca panas sedang melanda negara ketika ini, khususnya di Perak.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping, Mohamed Akmal Dahalan berkata, setakat ini penyusutan paras air tidak ketara dan keadaan tasik masih mampu mengekalkan sebagai kawasan tarikan kepada pengunjung.
Katanya, situasi hujan lebat yang melanda daerah berkenaan baru-baru ini turut membantu dalam memastikan paras air di Taman Tasik Taiping terkawal.
“Setakat ini penyusutan itu tidak ketara dan tidak seperti keadaan sebelum ini sehingga kering. Akan tetapi cuaca hujan semalam banyak membantu menambah paras air di tasik.
“Namun, kalau dilihat, aktiviti seperti kayuhan ‘bot itik’ masih boleh dijalankan, tidak seperti situasi sebelum ini apabila air terlalu surut sehingga kelihatan dasar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Pengubahsuaian Dalaman Pusat Interpretasi Pelawat dan Pelancaran Jejak Kedamaian Taiping di Menara Jam Taiping, pada Isnin.
Majlis dirasmikan Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) merangkap Pengerusi Persatuan Pelancongan Taiping, Datuk Seri Mohamad Zahir Abdul Khalid serta Presiden Persatuan Warisan Taiping, Liew Suet Fun.
Media sebelum ini melaporkan, fenomena cuaca panas yang melanda negara ketika ini dijangka berterusan hingga awal Monsun Barat Daya (MBD) iaitu pada Jun, susulan keadaan atmosfera lebih kering dan taburan hujan rendah
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), negara kini berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut (MTL) yang lazimnya dicirikan oleh pengurangan hujan serta keadaan cuaca lebih panas dan kering, terutama di kawasan utara dan pedalaman Semenanjung.
Mengulas lanjut Mohamed Akmal berkata, beliau mengakui situasi cuaca kering yang berlaku ketika ini sukar dijangka sepenuhnya, namun corak kitaran fenomena tersebut sudah mula dapat dikenal pasti.
Kata beliau, pihaknya juga berharap agar keadaan tidak akan menjadi lebih buruk seperti yang pernah berlaku sebelum ini, selain menjangkakan jika penyusutan berlaku, ia hanya bersifat sementara.
“Cuaca kering ini kita tak boleh jangka sepenuhnya, tetapi kita sudah boleh melihat corak kitarannya.
“Apabila air surut, keadaan Taman Tasik Taiping itu mungkin akan kurang menarik berbanding sekarang kerana dasar tasik akan kelihatan.
“Namun (jika ia berlaku) kita harap keadaan itu hanya sementara dan akan pulih seperti biasa,” katanya lagi.
Pada Julai 2024, paras ais di tasik rekreasi yang menjadi salah satu ikon pelancongan Perak menyusut sehingga kering susulan cuaca panas yang berpanjangan.
Ia turut mendapat perhatian Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim apabila baginda berdua berkenan berangkat meninjau keadaan Taman Tasik Taiping yang kering ketika itu. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


