‘Arwah buat dua kerja untuk menyara keluarga’ – Ibu Amirul Hafiz

LARUT – Dunia seakan-akan gelap tatkala ibu menerima perkhabaran duka anak kesayangan, Amirul Hafiz Omar, 33, maut dirempuh pemandu kereta mabuk ketika sedang menunggang motosikal di Jalan Raya Barat, Klang, Selangor pada Ahad.

Faridah Ahmad, 56, berkata, dia terkejut selepas dimaklumkan tentang kejadian itu oleh menantu yang juga isteri kepada anaknya, Nor Nadia Abdul Majid, 32.

“Menantu telefon saya dalam keadaan menangis, dan saya tanya kepada dia kenapa. Dia jawab ‘Mirul sudah tak ada, mak’.

“Saya terkejut dan tak tahu nak cakap apa. Padahal, baru sahaja kami sekeluarga berjumpa sewaktu Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini. Tidak sangka dia tinggalkan kami dalam waktu singkat,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Repoh di Batu Kurau, dekat sini, pada Isnin.

ibu mangsa maut dirempuh pemandu mabuk mangsa kemalangan maut Klang, pemandu mabuk Malaysia, kisah keluarga mangsa kemalangan, tragedi jalan raya Selangor, anak maut dirempuh kereta, luahan ibu kehilangan anak
Penunggang motosikal yang maut akibat dirempuh pemandu mabuk dalam kejadian di Jalan Raya Barat, Klang, di Selangor.
Isteri Allahyarham Amirul Hafiz Omar, Nor Nadia Abdul Majid, 32, bersama tiga anaknya, Muhammad Aqif Amsyar, 9, Muhammad Afif Izz Rayqal, 7 dan Nur Humaira, 2, menunjukkan gambar mereka sekeluarga ketika ditemui di kediaman keluarga arwah di Kampung Repoh di Batu Kurau, Larut. Foto ABDULLAH YUSOF 30 MARCH 2026.

Menceritakan lebih lanjut Faridah berkata, dia berkesempatan tinggal beberapa hari sebelum Hari Raya di rumah anak sulung daripada dua beradik itu di Seksyen 16 Shah Alam, Selangor.

Katanya, arwah juga ada menyediakan juadah daging masak kurma untuk dijamah bersama ahli keluarga termasuk adik, Amirah Yasmin, 28.

Menurut Faridah, ketika menghadiri kenduri keluarga di Klang pada Sabtu lalu, Allahyarham Amirul Hafiz sempat bergurau dengan ahli keluarga ketika mereka sedang merakam gambar bersama-sama.

ibu mangsa maut dirempuh pemandu mabuk mangsa kemalangan maut Klang, pemandu mabuk Malaysia, kisah keluarga mangsa kemalangan, tragedi jalan raya Selangor, anak maut dirempuh kereta, luahan ibu kehilangan anak
Gambar terakhir Allahyarham Amirul Hafiz Omar bersama keluarganya pada hari raya Aidilfitri, penunggang motosikal yang maut akibat dirempuh pemandu mabuk dalam kejadian di Jalan Raya Barat, Klang, di Selangor. Foto ABDULLAH YUSOF 30 MARCH 2026.

“Ketika kami sedang merakam gambar keluarga, dia ada cakap dekat kami ‘jaga-jaga nanti nak masuk TV (media). Duduk diam-diam, kapal nak berlayar’.

“Kami ingat dia buat lawak sebab dia seorang yang suka bergurau dengan sepupu-sepupu dia. Tapi tak sangka, kata-katanya itu seolah-olah ke atas diri dia,” katanya lagi.

Faridah berkata, Amirul Hafiz disifatkan sebagai seorang anak yang baik di samping sangat bertanggungjawab dan berat kepada keluarga.

Faridah Ahmad, 56, ibu Allahyarham Amirul Hafiz Omar penunggang motosikal yang maut akibat dirempuh pemandu mabuk dalam kejadian di Jalan Raya Barat, Klang, di Selangor ketika ditemui media di kediaman keluarga arwah di Kampung Repoh di Batu Kurau, Larut. Foto ABDULLAH YUSOF 30 MARCH 2026.

Menurutnya, arwah menyara keluarga dengan menjalankan dua kerja iaitu sebagai penjaga gudang di sebuah kilang di Shah Alam, dan bekerja sambilan sebagai penghantar barang.

“Saya nampak dia kira duit seringgit-seringgit, dia kata itu untuk sekolah anak-anak. Dia juga sudah bayar duit rumah. Dia fikir semua benda untuk keluarga,” katanya lagi.

Tambahnya, sebelum pulang ke Perak, arwah sempat memeluk dan memohon maaf seperti kebiasaannya setiap kali berpisah.

“Bagi saya, dia anak yang baik, sangat baik. Ketika di rumah, dia ada salam dan peluk saya. Dia kata pada saya, minta ampun atas segala kesalahan, dan halalkan makan dan minum.

“Saya kata, ‘saya reda, abang anak yang baik, mak tak terasa apa. Mak faham, abang tak dapat balik tengok mak (di kampung). Mak tahu abang sibuk cari rezeki untuk jaga keluarga,” ujarnya.

Nur Humaira, 2, anak bongsu kepada Allahyarham Amirul Hafiz Omar, penunggang motosikal yang maut akibat dirempuh pemandu mabuk dalam kejadian di Jalan Raya Barat, Klang, di Selangor ketika ditemui di kediaman keluarga arwah di Kampung Repoh di Batu Kurau, Larut. Foto ABDULLAH YUSOF 30 MARCH 2026.

Menurut Faridah, sehingga kini perasaannya bercampur baur apabila melihat video tular yang memaparkan kemalangan jalan raya membabitkan anaknya itu.

“Sakit anak saya… melambung anak saya,” katanya dengan sebak.

Dalam pada itu Faridah berkata, urusan pengurusan jenazah arwah Amirul Hafiz berjalan lancar dengan bantuan ahli keluarga dan saudara-mara.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Repoh, Batu Kurau, di sini, sekitar jam tengah 12 malam.

Allahyarham meninggalkan isteri, Nor Nadia Abdul Majid, 32, dan tiga cahaya mata iaitu Muhammad Aqif Amsyar, 9; Muhammad Afif Izz Rayqal, 7, dan Nur Humaira, 2 tahun. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Pemandu mabuk, positif dadah sebabkan kematian penunggang motosikal direman empat hari

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI