Anak pekerja kilang cemerlang 9A, berazam ubah hidup keluarga

IPOH – Mahu mengubah nasib keluarga menjadi pembakar semangat buat Wan Aleya Batrisyia Meor Ruslan, 18 apabila berjaya memperoleh keputusan pelajar cemerlang dengan meraih 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, bapa dan ibunya, Suziana Harun, 44, dan Meor Ruslan Ismail menyara keluarga dengan bekerja di sebuah kilang di Meru dan menyewa sebuah rumah di Halaman Meru Damai, di sini sejak 19 tahun lalu.

Wan Aleya Batrisyia berkata, kehidupan sederhana keluarganya menjadi dorongan utama untuk dia berusaha bersungguh-sungguh dalam pelajaran demi mengubah masa depan keluarga.

pelajar cemerlang SPM 2025 Perak kisah pelajar 9A SPM 2025, anak pekerja kilang cemerlang SPM, kejayaan pelajar Perak, tips belajar SPM cemerlang, pelajar miskin berjaya SPM, inspirasi pelajar Malaysia
Pelajar, Wan Aleya Batrisyia Meor Ruslan menangis kegembiraan ketika mendapat keputusan cemerlang 9A Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 pada majlis pengumuman Keputusan Peperiksaan SPM Tahun 2025 Peringkat Negeri Perak di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Permaisuri Bainun, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF 31 MARCH 2026.

“Ibu dan ayah saya bukan yang (kerja) hebat, kerja pun biasa-biasa sahaja di kilang, akan tetapi mereka berjaya mendidik saya untuk menjadi seorang yang hebat.

“Oleh sebab itu saya sentiasa berusaha untuk buat yang terbaik kerana saya hendak ubah nasib keluarga saya supaya dapat hidup dengan lebih senang,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan SPM 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Permaisuri Bainun, di sini, pada Selasa.

Wan Aleya Batrisyia berkata, dia bersyukur dan tidak menyangka apabila usahanya membuahkan hasil apabila turut diumumkan sebagai antara 13 pelajar SPM di sekolah berkenaan.

Menurutnya, dia mengamalkan pelbagai teknik ulang kaji pembelajaran mengikut kesesuaian subjek bagi memastikan pemahaman lebih berkesan.

Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Zulkafli Mohamed Mokhtar bergambar bersama pelajar yang mengambil keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 pada majlis pengumuman Keputusan Peperiksaan SPM Tahun 2025 Peringkat Negeri Perak di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Permaisuri Bainun, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF 31 MARCH 2026.

“Untuk subjek seperti Sejarah, saya lebih suka belajar dengan bercerita bersama kawan-kawan kerana ia lebih mudah diingat berbanding menghafal. Bagi Matematik pula, memang perlu buat banyak latihan,” katanya.

Tambahnya, rutin mengulang kaji pada awal pagi turut membantu dia dalam meningkatkan fokus terutama bagi subjek yang mencabar.

“Pada waktu awal pagi ia sangat membantu saya untuk faham tentang subjek yang diulang kaji kerana ketika itu otak masih segar. Saya juga amalkan membaca Surah al-Mathurat setiap pagi untuk kekal tenang sepanjang peperiksaan,” ujarnya.

Wan Aleya Batrisyia yang bercita-cita mahu menjadi pensyarah berkata, dia merancang untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan melalui program asasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

“Saya sebenarnya berminat untuk dan pernah separuh jalan memohon untuk sambung pelajaran di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), tetapi risau dengan kos pengajian. Jadi saya pilih laluan yang lebih sesuai dengan kemampuan keluarga,” katanya.

Pelajar, Adib Adham Mohamad Izzuddin bersama ibu bapanya melihat slip peperiksaan keputusan cemerlang 9A Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 pada majlis pengumuman Keputusan Peperiksaan SPM Tahun 2025 Peringkat Negeri Perak di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Permaisuri Bainun, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF 31 MARCH 2026.

Sementara itu, seorang lagi pelajar cemerlang sekolah sama, Adib Adham Mohamad Izuddin, 18, turut berkongsi kisah kejayaannya apabila memperoleh keputusan 9A dalam peperiksaan berkenaan.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, latar belakang keluarganya yang sederhana dengan bapanya, Mohd Izzuddin Aizi, 47, yang bekerja sebagai peniaga pasar malam di sekitar Kampar menjadi pendorong untuk dia terus berusaha mencapai kejayaan.

“Saya sangat bersyukur kerana keputusan yang diperoleh ini hasil usaha dan dorongan semua pihak, namun yang penting saya dapat membanggakan ibu bapa saya.

“Bapa saya meniaga di pasar malam sebagai peniaga kuetiau goreng, sementara ibu saya, Dewiyanti Wirman Shah, 49, merupakan seorang suri rumah” katanya.

Pelajar, Adib Adham Mohamad Izzuddin mendapat keputusan cemerlang 9A Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 pada majlis pengumuman Keputusan Peperiksaan SPM Tahun 2025 Peringkat Negeri Perak di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Permaisuri Bainun, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF 31 MARCH 2026.

Menurutnya, antara cabaran utama yang dihadapi ialah tempoh pembelajaran yang singkat dan padat, khususnya ketika berada di Tingkatan Lima.

Adib Adham berkata, disiplin diri dan konsistensi dalam mengulang kaji menjadi kunci utama kejayaan selain menjaga aspek kerohanian.

“’Batch’ kami mempunyai masa yang singkat apabila kami perlu menghadapi Peperiksaan Percubaan SPM pada Ogos selepas masuk Tingkatan Lima pada Februari.

“Jadi, dalam pelajaran memang saya kena konsisten dengan setiap petang dan malam waktu diluangkan untuk ulang kaji mata pelajaran. Namun yang paling penting, solat jangan tinggal,” katanya.

Dia yang bercita-cita mahu menjadi pensyarah itu memberitahu bahawa di bercadang untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan di Universiti Malaya (UM) atau UIAM. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

SPM 2025: 1,008 calon dapat semua A di Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI