Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Santapan Hari Guru

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Santapan Malam sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-55 Tahun 2026 di Hotel Casuarina@Meru di sini, pada Jumaat.

Turut mengiringi ke majlis Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Hadir sama Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri Datin Seri Aezer Zubin; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan barisan exco kerajaan negeri.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan bergambar ketika berangkat ke Majlis Santapan Malam Sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-55 Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru, Ipoh, pada Jumaat. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 15 MEI 2026.

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran oleh johan qari tilawah peringkat antarabangsa 2026, Cik Hasnul Taqiyuddin Cik Sazali diikuti sembah ucapan yang disampaikan Fadhlina.

Bertemakan ‘Guru Bitara Nadi Negara’ sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Perak sarat dengan makna yang mengangkat profesion keguruan sebagai tunjang utama pembinaan bangsa dan negara.

Suasana sekitar Majlis Santapan Malam Sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-55 Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru, Ipoh, pada Jumaat. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 15 MEI 2026.

Fadhlina dalam sembah ucapannya berkata, dalam mendepani perubahan dunia yang begitu pantas, pendidikan negara perlu bergerak dengan keberanian dan pandangan jauh agar kekal relevan serta mampu memenuhi keperluan masa hadapan.

Menurut beliau, Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 merupakan komitmen berterusan KPM dalam membawa sistem pendidikan negara ke tahap yang lebih baik dan lebih bersedia menghadapi cabaran baharu.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika sembah ucapan pada Majlis Santapan Malam Sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-55 Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru, Ipoh, pada Jumaat. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 15 MEI 2026.

“Rangka Pelan Malaysia 2026–2035 memberi penekanan kepada penguasaan ilmu, pembinaan sahsiah, penguasaan teknologi baharu termasuk Kecerdasan Buatan (AI), serta pengukuhan dwibahasa.

“Melalui Kurikulum Persekolahan 2027 yang progresif, Bahasa Melayu dan Sejarah terus diperkukuh sebagai asas identiti bangsa, di samping memperluas akses pendidikan awal kanak-kanak seawal usia lima tahun,” katanya.

Tambah beliau, segala usaha ini digerakkan dengan tekad memastikan pendidikan negara kekal relevan, progresif, dan mampu membuka peluang yang saksama kepada seluruh rakyat Malaysia, agar cahaya ilmu terus menyinari masa depan bangsa. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI