2026: Ekonomi Malaysia dijangka berkembang antara 4 hingga 5%

KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia berdaya tahan apabila mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.2 peratus pada tahun lalu meskipun berdepan persekitaran luaran yang sangat mencabar.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, keadaan ekonomi, monetari dan kewangan dalam negeri yang stabil membantu mengurangkan kesan kejutan luaran dan membuka jalan untuk pembaharuan penting dilaksanakan.

“Kita perlu terus mengukuhkan asas-asas ekonomi dan penampan dasar untuk meletakkan Malaysia pada kedudukan yang lebih baik bagi menghadapi rintangan semasa dan pada masa hadapan.

“Meskipun persekitaran terus berubah, komitmen BNM masih berteraskan pada usaha untuk terus melaksanakan mandat yang diamanahkan bagi membina masa hadapan yang lebih cerah untuk seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media sempena penerbitan Laporan Tahunan 2025 (LT 2025), Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2025 (TEM 2025) dan Tinjauan Kestabilan Kewangan bagi Separuh Kedua Tahun 2025 (TKK ST2 2025) di sini, hari ini.

Abdul Rasheed memberitahu, Malaysia memasuki tahun 2026 dengan asas ekonomi yang kukuh sekali gus berada pada kedudukan yang baik untuk mendepani cabaran global yang semakin tidak menentu.

Beliau berkata, pengukuhan itu terletak pada pemacu pertumbuhan yang pelbagai, untuk mengekalkan kekuatan sektor luaran dan kedudukan kunci kira-kira yang sihat dalam kalangan isi rumah dan firma.

“Sektor kewangan yang kukuh menyokong ekonomi untuk berkembang selain ruang dasar makroekonomi yang mencukupi iaitu kedua-dua dasar monetari dan dasar fiskal.

“Dengan mengambil kira semua faktor ini, ekonomi Malaysia dijangka berkembang pada kadar yang berdaya tahan antara empat dan lima peratus pada tahun 2026.

“Penggunaan isi rumah terus menjadi tonggak utama pertumbuhan ekonomi, disokong oleh prospek pendapatan yang positif dan peningkatan berterusan dalam pendapatan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI