Kesan konflik Asia Barat: Kerajaan tidak duduk diam, laksana pelbagai usaha

IPOH – Kerajaan Persekutuan dan negeri bergerak seiring dalam menguruskan ketidaktentuan geopolitik dunia termasuk di Asia Barat yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat ketika ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pendekatan itu diputuskan dalam mesyuarat khas bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis lalu.

Katanya, perbincangan tersebut memberi tumpuan kepada langkah segera bagi mengurangkan impak kenaikan kos tenaga, gangguan rantaian bekalan, tekanan harga barangan serta kesan limpahan terhadap kos sara hidup rakyat di semua peringkat.

“Mesejnya ialah kerajaan tidak hanya duduk diam dan berpeluk tubuh. Kita berusaha dan berikhtiar.

“Ini kesungguhan kerajaan Persekutuan bersama kerajaan negeri untuk bertindak secara terselaras, pantas dan berfokus agar rakyat tidak terus menanggung beban yang berpanjangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program MADANI Rakyat 2026 Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, di sini, pada Sabtu.

Majlis yang dirasmikan Anwar itu turut dihadiri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming serta Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

kesan konflik Asia Barat terhadap rakyat Malaysia impak konflik Asia Barat ekonomi Malaysia kos sara hidup Malaysia meningkat kerajaan tangani krisis global Perak Sejahtera 2030 usaha kerajaan bantu rakyat Malaysia
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi bergambar pada Program MADANI Rakyat 2026 Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah, Ipoh, pada Sabtu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 04 APRIL 2026.

Tambah Saarani, ketidaktentuan ekonomi global, konflik geopolitik dan peningkatan kos logistik memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian termasuk golongan ibu bapa dan peniaga kecil.

Justeru menurut beliau, Program MADANI Rakyat menjadi platform penting dalam mendekatkan kerajaan dengan rakyat, selain menghimpunkan pelbagai jabatan dan agensi di bawah satu bumbung.

“Ia bukan hanya menjadi tempat menghimpunkan jabatan dan agensi kerajaan. Ia adalah tanda bahawa ketika rakyat berdepan kesukaran, kerajaan hadir bersama. Bahawa ketika rakyat tertekan, kerajaan tidak berjarak.

“Ia adalah mesej bahawa kerajaan tidak akan membiarkan rakyat mengharungi saat-saat genting ini bersendirian,” jelasnya.

Dalam pada itu, Saarani berkata, kerajaan negeri turut menggerakkan pelan pembangunan Perak Sejahtera 2030 sebagai usaha jangka panjang bagi memperkukuh daya tahan ekonomi negeri.

Kata beliau, inisiatif tersebut bukan sahaja bertujuan meredakan tekanan semasa, malah membina asas ekonomi lebih kukuh serta memperluas peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Ia supaya ekonomi negeri lebih berdaya tahan, peluang pekerjaan terus diperluas, serta kehidupan yang lebih baik untuk seluruh rakyat.

“InsyaAllah, selagi semangat kebersamaan antara Persekutuan, kerajaan negeri dan rakyat terus diperkukuh, saya yakin kita bukan sahaja mampu mengharungi cabaran semasa, malah mampu melangkah ke hadapan dengan lebih yakin, lebih stabil dan lebih sejahtera,” katanya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Konflik Asia Barat: Hentikan tuding-menuding, cari jalan penyelesaian bersama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI