AMK perlu jadi benteng utama depani cabaran ekonomi, politik semasa

IPOH – Angkatan Muda Keadilan (AMK) perlu tampil sebagai benteng utama parti dalam mendepani cabaran semasa termasuk tekanan ekonomi global yang semakin dirasai rakyat khususnya golongan muda.

Ketua AMK Ipoh Timor, Muhammad Izzuddin Hariz Bohari berkata, peranan sayap itu tidak lagi sekadar sebagai penyokong, sebaliknya perlu menjadi jentera hadapan yang lebih aktif dan responsif terhadap isu semasa.

“Peranan AMK bukan lagi sekadar sayap sokongan, sebaliknya perlu menjadi jentera hadapan yang aktif, responsif dan benar-benar dekat dengan denyut nadi masyarakat.

“Sehubungan itu, kesiapsiagaan dari segi organisasi, strategi dan gerak kerja lapangan perlu diperkasa secara menyeluruh bermula sekarang,” katanya menerusi hantaran pada laman Facebook.

Beliau berkata, situasi semasa turut menyaksikan budaya politik yang semakin buruk dengan penyebaran fitnah dan tohmahan yang menenggelamkan perbincangan matang dalam kalangan masyarakat.

Muhammad Izzuddin berkata, anak muda perlu berani mengkritik kerajaan sebagai tanda keprihatinan, walau bagaimanapun kritikan tersebut perlu disampaikan secara berasas serta disertai cadangan penyelesaian.

“Anak muda perlu berani mengkritik kerajaan, itu tanda cakna dan peduli. Tetapi kritikan itu mesti berasas, berfakta dan membawa solusi, bukan sekadar mencaci atau menyebarkan fitnah,” jelasnya.

Tambah beliau, AMK juga perlu memainkan peranan dalam melahirkan generasi muda yang berani bersuara secara beradab dan tegas dalam pendirian.

“Kita mahu lahirkan generasi anak muda yang ada ‘level’, berani bersuara dalam keadaan beradab serta tegas berpendirian,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kesiapsiagaan AMK perlu diperkukuh dari sekarang sekiranya parti mahu memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Terdahulu, Muhammad Izzuddin memaklumkan Mesyuarat Agung Tahunan AMK Ipoh Timor yang berlangsung pada Ahad berjalan lancar dan mencapai objektif ditetapkan termasuk dalam mendepani Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Hanya dengan kesungguhan, kesatuan dan tindakan yang tersusun, AMK mampu memainkan peranan signifikan dalam memastikan kemenangan parti pada PRU akan datang.

“Mesyuarat ini bukan sekadar memenuhi tuntutan organisasi, tetapi menjadi ruang muhasabah, mengenal pasti kelemahan, memperbaiki kekurangan dan memperkukuh kekuatan demi memastikan parti terus relevan dan diyakini rakyat,” katanya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

AMK puji pendirian Ahmad Zahid untuk UMNO kekal dalam Kerajaan Perpaduan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI