Perak catat pengeluaran akuakultur hampir RM927 juta

IPOH – Perak terus mengukuhkan peranannya dalam sektor perikanan negara apabila merekodkan pengeluaran sebanyak 407,794 tan metrik pada tahun lalu.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, jumlah itu mewakili kira-kira 22.8 peratus daripada keseluruhan pengeluaran perikanan Malaysia.

“Perak juga merupakan peneraju dalam sektor perikanan darat dengan pengeluaran sebanyak 2,695 tan metrik melibatkan lebih 1,400 nelayan darat.

“Selain itu, ia mencatatkan pengeluaran akuakultur sebanyak 77,837.28 tan metrik bernilai hampir RM927 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Sesi Libat Urus Pindaan Akta Perikanan 2025 dan Kesan Konflik Iran-Amerika Syarikat Terhadap Sektor Perikanan Negara di Pejabat Jabatan Perikanan Malaysia Negeri Perak, di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain.

akuakultur Perak RM927 juta pengeluaran perikanan” “pengeluaran perikanan Perak 2025” “akuakultur Perak 77,000 tan metrik” “Perak peneraju perikanan Malaysia” “pengeluaran kerang Perak RM150 juta” “sektor perikanan Malaysia Perak” “Akta Perikanan 2025 pindaan” “sekuriti makanan Malaysia perikanan
Program Sesi Libat Urus Pindaan Akta Perikanan 2025 dan Kesan Konflik Iran-Amerika Syarikat Terhadap Sektor Perikanan Negara di Pejabat Jabatan Perikanan Malaysia Negeri Perak, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF 09 APRIL 2026.

Mohd Zolkafly berkata, selain itu Perak juga kekal sebagai pengeluar utama kerang negara dengan jumlah pengeluaran sekitar 15,970 tan metrik bernilai kira-kira RM150 juta, sekali gus memperkukuh keterjaminan makanan negara.

Kata beliau, kerajaan negeri menyokong usaha memperkukuh dasar dan perundangan sektor perikanan agar lebih komprehensif serta mampu memberi impak langsung kepada pemain industri.

Sementara itu, Adnan berkata, pindaan terhadap Akta Perikanan 2025 yang dilaksanakan kerajaan merupakan langkah strategik bagi memastikan sektor perikanan negara kekal mampan dan berdaya tahan dalam mendepani cabaran global.

Menurut beliau, ketidaktentuan geopolitik termasuk konflik membabitkan Iran dan Amerika Syarikat telah memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan makanan serta meningkatkan kos operasi industri.

“Ketidaktentuan global yang berlaku telah memberi kesan langsung kepada sektor perikanan negara, khususnya dari segi kenaikan kos bahan api, harga makanan ikan serta gangguan rantaian bekalan.

“Situasi ini bukan sahaja memberi tekanan kepada operasi, malah turut menjejaskan pendapatan harian nelayan dan penternak akuakultur,” katanya.

Tambah Adnan, pindaan akta tersebut telah dirangka secara menyeluruh bagi menangani isu kritikal seperti aktiviti perikanan tidak sah, tidak dilapor dan tidak dikawal selia (IUU Fishing), kemerosotan sumber serta perubahan iklim.

“Pindaan akta ini bukan sekadar penambahbaikan teknikal, tetapi satu transformasi menyeluruh untuk memperkukuh pengurusan sumber perikanan, melindungi kebajikan nelayan dan memastikan industri ini terus relevan,” jelasnya.

Ujar beliau, langkah berkenaan bertujuan menangani isu perikanan tidak sah, tidak dilapor dan tidak dikawal selia (IUU Fishing) serta kemerosotan stok sumber akibat perubahan iklim yang mengancam sekuriti makanan.

Adnan menambah, perundangan baharu itu bakal memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Perikanan untuk melarang aktiviti penangkapan ikan di kawasan perairan yang dikesan mengalami pencemaran.

“Sesi libat urus ini diharap dapat memperkukuh kerjasama antara kerajaan dan pemain industri dalam merangka hala tuju sektor perikanan yang lebih mampan, moden dan berdaya tahan, selaras dengan agenda keterjaminan makanan negara,” katanya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Perikanan Perak sita 49 ikan larangan bernilai RM8,300

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI