IPOH – Sektor pertanian di negeri ini merekodkan prestasi memberangsangkan dengan jumlah pendapatan sebanyak RM17.69 bilion pada 2023, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), menerusi Laporan Banci Pertanian 2024 Perak.
Daripada jumlah itu, subsektor tanaman muncul sebagai penyumbang terbesar kepada pendapatan sektor pertanian negeri dengan nilai RM9.34 bilion.
“Subsektor ternakan pula mencatatkan pendapatan sebanyak RM4.76 bilion, diikuti subsektor perikanan dengan tangkapan berjumlah RM2.52 bilion.
“Selain itu, subsektor akuakultur menyumbang RM929.13 juta manakala subsektor perhutanan dan pembalakan merekodkan pendapatan sebanyak RM143.17 juta,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
DOSM berkata, tiga daerah pentadbiran yang merekodkan jumlah pendapatan tertinggi ialah Manjung sebanyak RM3,045.51 juta, diikuti Batang Padang sebanyak RM2,235.37 juta dan Larut dan Matang sebanyak RM2,054.69 juta.
“Pegangan pertanian yang diusahakan oleh pertubuhan menyumbang RM12.60 bilion, bersamaan 71.2 peratus daripada jumlah pendapatan sektor pertanian Perak, manakala pegangan pertanian individu merekodkan RM5.09 bilion atau 28.8 peratus.
“Dalam subsektor tanaman, pegangan pertanian pertubuhan menjana pendapatan RM6.51 bilion, mewakili 69.7 peratus berbanding RM2.83 bilion yang disumbangkan oleh pegangan pertanian individu.
“Bagi subsektor ternakan, pendapatan sebahagian besarnya dijana oleh pegangan pertanian pertubuhan iaitu RM4.65 bilion manakala pegangan pertanian individu menyumbang RM103.33 juta,” ujarnya.
Dalam pada itu, DOSM memaklumkan menerusi subsektor perikanan tangkapan, pendapatan didominasi oleh pegangan pertanian individu sebanyak RM1.90 bilion berbanding RM614.39 juta oleh pegangan pertanian pertubuhan.
Sebaliknya, pendapatan subsektor akuakultur kebanyakannya dijana oleh pegangan pertanian pertubuhan sebanyak RM692.08 juta manakala pegangan pertanian individu menyumbang RM237.05 juta.
“Pendapatan subsektor perhutanan dan pembalakan hampir keseluruhannya disumbangkan oleh pegangan pertanian pertubuhan iaitu RM129.15 juta, manakala pegangan pertanian individu hanya menyumbang RM14.02 juta,” jelasnya.
Sementara itu, DOSM berkata, tiga daerah yang mencatatkan sumbangan tertinggi kepada pendapatan sektor pertanian ialah Manjung (RM3.05 bilion), Batang Padang (RM2.24 bilion) dan Larut dan Matang (RM2.05 bilion).
“Bagi subsektor tanaman, Hilir Perak, Batang Padang dan Perak Tengah muncul sebagai tiga penyumbang pendapatan tertinggi dengan masing-masing merekodkan RM1.91 bilion, RM1.29 bilion dan RM1.17 bilion.
“Manjung turut merekodkan pendapatan tertinggi bagi subsektor ternakan sebanyak RM918.20 juta, diikuti oleh Batang Padang (RM900.56 juta) dan Kinta (RM733.81 juta).
“Bagi subsektor perikanan tangkapan, Bagan Datuk, Manjung dan Larut, Matang dan Selama masing-masing merekodkan RM860.84 juta, RM857.31 juta dan RM495.24 juta,” katanya.
“Pendapatan subsektor akuakultur tertinggi sebanyak RM272.83 juta turut didominasi Manjung, diikuti Kerian (RM259.93 juta) dan Kampar (RM76.38 juta) manakala subsektor perhutanan dan pembalakan, Kinta, Kuala Kangsar dan Larut, Matang dan Selama masing-masing menyumbang sebanyak RM59.31 juta, RM33.89 juta dan RM31.66 juta. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Fokus pembangunan di Perak tidak pinggirkan sektor pertanian – MB


