IPOH – Tiga ekor gajah dari Malaysia yang dihantar Tennoji Zoo di Osaka, Jepun kekal sebagai milik Zoo Taiping & Night Safari dan tidak melibatkan sebarang pemindahan hak milik atau urus niaga jual beli.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, pemindahan tiga ekor gajah dikenali sebagai Dara, Amoi dan Kelat (DAK) bukan urus niaga komersial dan ‘penjualan’ seperti yang didakwa.
Menurut beliau, sebaliknya ia merupakan sebahagian daripada kerjasama rasmi antara Zoo Taiping & Night Safari dan Tennoji Zoo Osaka di bawah konsep ‘sister zoo’ yang memberi tumpuan kepada pemuliharaan, perkongsian kepakaran dan peningkatan standard penjagaan haiwan.
“Kerjasama seperti ini adalah amalan biasa di peringkat antarabangsa. Dalam konteks konservasi, penempatan dan pertukaran haiwan dibuat berdasarkan kesesuaian fasiliti, kepakaran serta keperluan jangka panjang spesies tersebut.
“Yang penting adalah kebajikan haiwan itu sendiri dipastikan melalui sistem yang jelas dan dipatuhi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Sesi Penggulungan Perbahasan Titah DiRaja Sultan Perak pada Mesyuarat Pertama, Tahun Keempat, Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Isnin.
Mengulas lanjut beliau berkata, keseluruhan proses telah dilaksanakan secara terancang sejak 2021 dan melalui pelbagai peringkat kelulusan.
Jelasnya, ia termasuk kelulusan daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), permit eksport, serta pengesahan di bawah CITES (Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora) oleh pihak Malaysia dan Jepun.
“Selain itu, pelaksanaan ini juga selaras dengan National Elephant Conservation Action Plan (NECAP) serta tertakluk kepada Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716].
“Sebelum pemindahan dilaksanakan, penilaian teknikal telah dibuat termasuk lawatan ke fasiliti di Osaka, dan penambahbaikan telah dilaksanakan bagi memastikan ia memenuhi standard yang ditetapkan,” katanya.
Tambah Sandrea, kakitangan Tennoji Zoo juga telah menjalani latihan di Zoo Taiping dengan penglibatan pihak Perhilitan bagi memastikan pengurusan dan penjagaan gajah ini dilaksanakan mengikut amalan yang betul
“Di bawah perjanjian ini, tanggungjawab kebajikan gajah adalah jelas dan terikat, termasuk penyediaan habitat yang sesuai, pemakanan dan penjagaan kesihatan veterinar secara berkala, serta pelaksanaan sistem keselamatan dan pelan kecemasan.
“Pihak zoo di Osaka juga perlu menyediakan laporan berkala, dan pelaksanaan ini dipantau melalui mekanisme bersama,” katanya.
Mengulas mengenai isu-isu yang dibangkitkan, termasuk perkara-perkara teknikal berkaitan pengurusan gajah Shy Ching berkata, semuanya dilaksanakan berdasarkan penilaian veterinar, keperluan fisiologi haiwan serta garis panduan pemuliharaan yang ditetapkan.
Katanya, Kerajaan Negeri memandang serius perkara berkenaan dan akan terus memastikan setiap kerjasama yang dilaksanakan berlandaskan tanggungjawab, pematuhan kepada undang-undang serta keutamaan terhadap kebajikan haiwan.
“Keprihatinan masyarakat terhadap isu ini amat dihargai. Pada masa yang sama, adalah penting untuk kita melihat perkara ini secara menyeluruh agar setiap keputusan yang diambil dapat difahami dalam konteks yang sebenar,” katanya. -MG Perak


