GERIK – Polis menahan seorang lelaki selepas disyaki menunjukkan kemaluannya sambil beronani di hadapan seorang wanita di sebuah pasar raya di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian yang juga tukar di media sosial itu kira-kira jam 5.57 petang.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku sekitar jam 3.33 petang ketika mangsa, seorang wanita berusia 25 tahun sedang bekerja di premis berkenaan.
“Ketika kejadian, mangsa terdengar bunyi zip sedang dibuka sebelum pergi memeriksa dan mendapati seorang lelaki sedang melakukan perbuatan tidak senonoh.
“Mangsa terlihat seorang lelaki sedang membuat gangguan seksual dengan memegang serta onani kemaluannya sambil memandang ke arah wanita terbabit,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, susulan itu mangsa kemudian bertindak merakam kejadian tersebut menggunakan telefon bimbit serta memarahi suspek sebelum lelaki itu keluar dari pasar raya berkenaan.
“Susulan laporan diterima, polis berjaya mengesan dan menahan suspek, seorang lelaki berusia 55 tahun di Stesen Bas Gerik pada jam 9.45 malam hari sama,” ujarnya.
Abdul Samad berkata, siasatan lanjut ke atas suspek mendapati lelaki itu merupakan seorang penganggur dan belum pernah berkahwin
Menurut beliau, semakan lanjut juga mendapati lelaki terbabit turut mempunyai rekod di mana pernah menerima rawatan berkenaan masalah mental sebelum ini.
“Permohonan reman akan dibuat pada 24 April bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
“Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Lelaki pecahkan cermin kereta di Gerbang Malam ditahan polis


