IPOH – Polis menahan seorang lelaki selepas disyaki memecahkan cermin hadapan sebuah kereta dengan menggunakan batu di sekitar kawasan Gerbang Malam di sini, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, lelaki tempatan berusia 43 tahun itu ditahan pada sekitar jam 1 pagi.
Katanya, berdasarkan laporan kejadian khianat melibatkan kerosakan pada sebuah kereta jenis Perodua Bezza itu berlaku pada sekitar jam 11.40 malam Selasa.
“Seorang lelaki tempatan memecahkan cermin bahagian penumpang hadapan sebuah Perodua Bezza menggunakan batu.
“Ia dipercayai selepas berlaku perselisihan berkaitan bayaran perkhidmatan menggilap kenderaan yang tidak diminta (oleh mangsa),” katanya menerusi satu kenyataan.
Muhammad Najib berkata, hasil semakan mendapati suspek mempunyai lapan rekod jenayah lampau dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
“Suspek telah direman dan akan dituduh di Mahkamah Majistret Ipoh pada Jumaat,” katanya lagi.
Terdahulu tular di media sosial Facebook berkenaan satu hantaran yang mendakwa berlaku insiden kerosakan pada sebuah kereta oleh seorang lelaki yang membuat perkhidmatan menggilap kenderaan dengan tidak diminta.
Hantaran itu mendakwa, lelaki tersebut secara tiba-tiba telah datang dan menggilap lampu hadapan kereta mangsa sebelum meminta kadar bayaran RM60 bagi setiap lampu.
“Kami tetap tak bayar sebab kami tak nak pun. Selepas itu, apabila suami saya undurkan kereta, dia baling bata pada cermin tingkap. Ia pecah selain bata berkenaan mengenai dada saya. Kuat balingan dia sehingga saya merasa sakit pada dada,” tulis hantaran itu. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


