UPSI, MyTutor Academy jalin kerjasama strategik

TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjalinkan kerjasama strategik dengan MyTutor Academy Sdn. Bhd sebagai usaha memperkukuh jaringan strategik antara universiti dan industri dalam bidang inovasi, latihan serta pembangunan modal insan.

Kerjasama itu dijalinkan menerusi pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) antara kedua-dua pihak di Bangunan Canselori, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI, dekat sini, pada Khamis.

Ia disempurnakan oleh UPSI yang diwakili Naib Canselor, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff serta MyTutor Academy diwakili olehKetua Pegawai Eksekutif, Mohd Hafiz Kamaruddin.

Md Amin berkata, kerjasama itu dijangka membuka ruang kolaborasi lebih luas termasuk menghubungkan ekosistem pembelajaran digital Home2U UPSI dengan platform MyTutor bagi memperluas akses pendidikan secara fleksibel kepada masyarakat.

Kata beliau, inisiatif itu juga merangkumi cadangan pelantikan pensyarah adjung daripada industri sebagai usaha merapatkan jurang antara teori akademik dan amalan profesional.

“Kerjasama ini turut meneroka pembangunan platform perkhidmatan bersepadu yang membolehkan pelajar, graduan dan komuniti mendapatkan akses kepada latihan, bimbingan serta peluang pekerjaan dalam satu ekosistem digital yang komprehensif,” katanya.

Tambah Md Amin, kerjasama berkenaan juga dilihat berpotensi memperkukuhkan lagi peranan jaringan alumni UPSI dalam aspek pembangunan kerjaya, keusahawanan dan jaringan profesional.

“Melalui pemeteraian MoA ini turut membuka peluang kepada graduan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi termasuk Sarjana dan Doktor Falsafah,” katanya.

Sementara itu, Mohd Hafiz berkata, pihaknya komited untuk menjadikan kerjasama itu sebagai platform memperkasa pembangunan bakat dan kebolehpasaran graduan selari dengan keperluan industri semasa.

“Kami melihat potensi besar untuk menggabungkan kepakaran akademik UPSI dengan pengalaman industri MyTutor dalam menyediakan latihan yang lebih praktikal, relevan dan berimpak tinggi kepada pelajar serta graduan.

“Kami juga percaya pendekatan berasaskan teknologi dan pembelajaran fleksibel mampu memperluas akses pendidikan kepada lebih ramai lapisan masyarakat, sekali gus menyokong agenda pembangunan pendidikan negara,” katanya.

Tambah beliau, kedua-dua pihak turut membincangkan pelaksanaan program berimpak tinggi seperti ‘bootcamp’, kem musim panas serta program pembangunan pelajar, di samping meneroka inisiatif pendidikan berteraskan tahfiz dan pengajian agama.

“MyTutor Academy berhasrat menjadikan UPSI sebagai lokasi penganjuran program komuniti berskala kecil yang mampu menghidupkan suasana kampus serta memberi nilai tambah kepada warga universiti,” katanya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

10 kakitangan UPSI terima sumbangan tunai haji

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI