IPOH – MCA menetapkan kriteria calon bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang akan datang dengan menekankan keupayaan menguasai dengan baik sekurang-kurangnya tiga bahasa, khususnya Bahasa Melayu.
Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, langkah itu sebahagian daripada usaha memperkukuh kesiapsiagaan parti selain memastikan calon yang diketengahkan benar-benar mampu membawa suara rakyat di peringkat Dewan Undangan Negeri mahupun Parlimen.
“Kepimpinan MCA telah menetapkan calon-calon yang akan datang mestilah mempunyai kefasihan terhadap tiga bahasa utama khususnya Bahasa Kebangsaan iaitu Bahasa Melayu, diikuti Bahasa Inggeris, dan Bahasa Cina.
“Penguasaan Bahasa Kebangsaan itu penting sebagai seorang wakil rakyat, di samping penguasaan Bahasa Inggeris dan Cina yang bergantung kepada kesesuaian tempat (bertanding).
“Ini antara perkara yang ditetapkan parti dan ketika ini kita sedang melatih calon-calon yang berpotensi agar mampu memenuhi kriteria berkenaan,” katanya ketika ditemui pada program Santai Media Perak di sini, pada Jumaat.

Choo Seong berkata, MCA turut memberi penekanan kepada usaha meremajakan parti dengan akan menampilkan lebih ramai calon muda yang progresif.
Kata beliau, langkah itu penting bagi menarik lebih ramai sokongan pengundi muda yang kini menjadi kumpulan terbesar dalam kumpulan pengundi di negara ini.
Ujar beliau, calon-calon berpotensi telah dikenal pasti melalui beberapa siri saringan dengan lebih 50 peratus daripada jumlah tersebut terdiri daripada golongan muda yang berumur bawah 40 tahun.
“Kita mahu calon daripada MCA boleh berdebat dan mengutarakan idea yang menyentuh soal dasar negeri dan negara, melangkaui retorik politik kerana ketika ini rakyat sudah muak dengan retorik politik.
“Malah, trend pengundi masa kini adalah mereka lebih melihat kepada personaliti atau kredibiliti calon yang bertanding berbanding memilih kepada parti semata-mata,” ujarnya.
Mengulas lanjut Choo Seong berkata, usaha meremajakan parti yang sedang digerakkan ketika ini tidak menidakkan peranan anggota parti yang lebih senior, sebaliknya ia sebagai gabungan tenaga agar MCA kekal relevan dalam menghadapi dinamik politik semasa.
“Selain penyertaan ramai bakal calon wanita, kepimpinan MCA juga telah memberi kebebasan kepada semua ahli parti untuk membawa isu-isu rakyat dengan cara tersendiri termasuk menerusi penguasaan media sosial.
“Tanpa mengira hiraki jawatan dalam parti, sesiapa sahaja boleh membawa suara komuniti kerana yang kita mahu adalah keberanian, kepetahan dan kebolehan untuk membawa suara rakyat secara kreatif,” tambahnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, MCA kini memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi kemungkinan berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor dan Melaka yang dijangka menjadi medan penting sebelum menjelang PRU16.
Beliau yang juga Pengarah Komunikasi Pemuda Barisan Nasional (BN) berkata, keputusan di kedua-dua negeri itu bakal memberi impak besar terhadap strategi serta kesiapsiagaan parti bagi PRU akan datang. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
BN tidak akan ulang kesilapan lama pada PRU16


