Jangan politikan isu bayaran royalti petroleum – Kamil Munim

IPOH – Mekanisme pengurusan bayaran royalti petroleum oleh kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri tidak wajar dijadikan modal politik.

Pegawai Khas kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, ia ekoran kaedah pengurusan dan pembayaran royalti yang dilaksanakan ketika ini merupakan pendekatan sama yang telah lama dipraktikkan, termasuk ketika pentadbiran terdahulu.

Menurut beliau, mekanisme itu bukan sekadar menyalurkan dana kepada kerajaan negeri, sebaliknya melibatkan penyelarasan bagi pelaksanaan projek rakyat.

“Semangatnya ialah kita hendak pastikan bahawa dana khas ini tidak hanya digunakan untuk membiayai gaji dan emolumen semata-mata tetapi juga dalam masa yang sama diselaras antara Kerajaan Persekutuan iaitu Kementerian Kewangan dan juga kerajaan negeri.

“Ia bertujuan untuk kita pastikan projek-projek yang dapat memberi faedah kepada rakyat dapat dipantau dan dilaksanakan dan kita mahu pastikan tidak ada masalah ketirisan dan juga kebocoran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan sesi perbincangan bersama petani berhubung isu status tanah di Kanthan, Chemor, di sini, pada Jumaat.

Tambah Muhammad Kamil, pihaknya melihat kenyataan dikeluarkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar bukan pertikaian namun ia dimanipulasi sesetengah pihak.

“Dia cuma memaklumkan sejumlah ini telah diterima, tapi ada orang cuba manipulasi ini untuk menyerang dan mempertikaikan mekanisme ini.

“Cuma saya hendak sebut bahawa kaedah ini sudah lama dijalankan. Kalau mahu dikatakan kenapa kita tidak selesaikan masalah royalti ini, saya hendak tanya waktu PAS dalam kerajaan tidak selesai masalah ini,” katanya.

Katanya lagi, apa yang kerajaan laksanakan hari ini mencerminkan semangat federalisme dan yang paling penting, manfaat terbesar daripada peruntukan dana khas dapat dipulangkan semula kepada rakyat.

“Jadi pihak-pihak yang tak ada modal politik ini, hentikan bermain menyerang kerajaan dengan politik murah sebegini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Ahmad Samsuri mendakwa mekanisme sedia ada kurang efisien kerana tidak semua bayaran disalurkan terus ke akaun kerajaan negeri.

Ahmad Samsuri dilaporkan berkata, hanya sekitar 48 peratus bayaran royalti petroleum disalurkan terus kepada kerajaan negeri, manakala baki selebihnya diuruskan oleh Kementerian Kewangan untuk pelaksanaan projek. -MG Perak

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI