IPOH – Kerajaan Negeri Perak menyerahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk meneliti serta membuat penilaian terhadap keadaan jambatan kayu yang uzur dan reput di Kampung Orang Asli Lubuk Gaharu dekat Tapah.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Exco semalam memandangkan jambatan gantung tersebut adalah laluan yang menghubungkan penduduk Orang Asli di kawasan berkenaan.
“Semalam kita ada bincang dalam mesyuarat Exco. Sebab itu jambatan gantung yang menghubungi Orang Asli. Cuma ia pernah dimohon (jambatan baharu) oleh mantan ADUN Chenderiang, Datuk Dr Mah Hang Soon.
“Tentu sekali bila setiap permohonan dilakukan, maka JKR dan juga UPEN (Unit Perancang Ekonomi Negeri) akan terlebih dahulu melihat kepada justifikasinya.
“Pertama, berapa orang hendak guna sebab hendak banding dengan kos. Adakah kenderaan berat akan lalu? Adakah kereta, motosikal akan lalu? Jadi, kalau tidak ada kenderaan bermotosikal, tidak berbaloilah kita hendak buat jambatan yang canggih.
“Memadailah dengan titi gantung. Barangkali kita setakat untuk membaiki titi gantung yang sedia ada. Sebab itu mesyuarat Exco semalam kita putuskan minta JKR untuk pergi lihat, buat penilaian,” katanya.
Beliau berkata pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Falak Negeri Perak di Hotel Impiana, di sini hari ini.
Sementara itu, mengulas sama ada kerajaan negeri akan memberikan penghargaan kepada dua Orang Asli yang berjaya menemui pendaki wanita yang hilang, Jaslinda Saludin, 49, baru-baru ini, beliau menyatakan masih belum menerima laporan rasmi berhubung perkara itu.
“Saya belum dapat apa laporan secara rasmi lagi. Sebab hendak kena tengok juga, takut nanti ramai orang mengaku pula. Tidak mengapa, inshaAllah kita tengok lagi,” jelasnya.Top of Form
Jaslinda ditemukan Sabtu lalu oleh dua penduduk kampung berkenaan, Nazri a/l Bah Eng, 55, dan Bah Roslan Bah Sulpok, 51, yang ketika itu sedang memancing di Sungai Woh yang mengalir berhampiran perkampungan terbabit selepas 14 hari dilaporkan hilang. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


